KUALA LUMPUR, 1 Nov — Dalam usahanya untuk mengembalikan kemakmuran ekonomi Malaysia dan menangani isu-isu “poket dan perut” rakyat, Barisan Nasional (BN) hari ini menampilkan gandingan calon berpengalaman dan muka baharu yang berpegang kepada prinsip keutamaaan taat untuk berkhidmat.

Menggariskan tiga elemen yang perlu diberi keutamaan iaitu tetap, khidmat dan muafakat, Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata calon BN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) mempunyai tanggungjawab dan beban amanah besar untuk bekerja sepenuh hati kepada rakyat.

“Pertama, tetap memegang amanah rakyat dan tidak mengkhianati mandat; kedua, khidmat demi rakyat dengan waktu bekerja mengikut pusingan jam dan ketiga, muafakat berterusan dengan semua segmen masyarakat bagi mendapatkan saranan dan kaedah-kaedah pelaksanaan usaha mensejahterakan kehidupan rakyat agar sentiasa sesuai, segar dan segera.

“Dengan tiga keutamaan ini, menjadi wakil rakyat bukanlah jawatan untuk mendapatkan keistimewaan, Wakil Rakyat bukan tiket untuk mendapat layanan sebaliknya mesti mampu menjadi pelayan. Wakil Rakyat bukan untuk kemegahan dan kemewahan, sebaliknya untuk mensejahterakan kehidupan seluruh watan,” katanya pada Majlis Pengumuman Calon BN bagi PRU15 di sini hari ini.

Ahmad Zahid, yang juga Presiden UMNO, berkata BN akan menampilkan lebih 85 peratus calon-calon yang mempunyai kelayakan akademik di peringkat pengajian tinggi dalam pelbagai disiplin ilmu dan kepakaran.

Ahmad Zahid berkata beliau sedar kepentingan politik dalaman BN menjadi perkiraan dalam soal penentuan calon, namun tuntutan memulihkan kesuraman negara dan mengangkat kembali agenda kesejahteraan rakyat adalah lebih tinggi daripada kepentingan politik individu dan kepartian.

“Calon-calon yang diketengahkan adalah gandingan muka baharu dan lama. Mereka mempunyai kekuatan rekod berbakti kepada rakyat dan kesegaran idea, serta sudut pandang yang bugar demi kestabilan dan kemakmuran negara.

Dengan demografi pengundi yang semakin remaja, iaitu 51.4 peratus daripada kira-kira 21 juta pengundi, berumur antara 18 hingga 40 tahun, adalah menjadi tanggungjawab Barisan Nasional, meletakkan gandingan yang membimbing dan dibimbing,” katanya.

Beliau berkata BN sentiasa meletakkan dasar-dasar bertanggungjawab, realistik dan mampu menjadi penawar kepada pelbagai permasalahan, yang menyentuh soal asas negara dan kesejahteraan rakyat.

Pada malam ini, Ahmad Zahid mengumumkan nama calon-calon BN yang bakal bertanding kerusi Parlimen di Semenanjung manakala 25 kerusi Parlimen di Sabah akan diumumkan bersama dengan rakan kerjasama politik di negeri itu esok.

Pada PRU14, BN memenangi 79 kerusi Parlimen.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRU15 pada 19 Nov, penamaan calon 5 Nov dan pengundian awal pada 15 Nov.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here