KUALA LUMPUR, 5 Nov — Sebelum bergiat aktif dalam politik, Datuk Ramlan Shahean @ Askolani, 61, calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Lembah Pantai bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ialah pemain bola sepak kebangsaan dari 1985 hingga 1989.

Malah, sepanjang penglibatannya itu, kehebatannya dalam arena sukan meletakkan dirinya sebaris dengan pemain bola sepak terkemuka negara seperti Fandi Ahmad, Lim Teong Kim, mendiang Serbegeth Singh, Azizul Abu Hanifah, Abdul Karim Pin dan Ahmad Sobri Ismail.

“Saya ialah pemain tengah skuad Harimau Malaya dan pernah beraksi dalam pelbagai perlawanan antarabangsa antaranya Piala Asia, Pra Kelayakan Sukan Olimpik, Piala Jakarta Raya, Merlion Cup dan Kirin Cup.

“Pada masa sama, saya juga bermain untuk pasukan Kuala Lumpur selama sembilan tahun dari 1982 sebelum beralih ke pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 1991,” katanya kepada Bernama.

Ramlan yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Melayu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berkata kariernya dalam bola sepak bermula selepas menjadi pemain bagi pasukan Kedah susulan kejayaannya melayakkan diri dalam Piala Razak pada 1980 ketika berusia belasan tahun.

Berkongsi cerita pembabitannya dalam arena politik pula, beliau mula menceburi bidang itu pada 1990 ketika masih bermain dengan pasukan Kuala Lumpur dan bergiat aktif dalam politik selepas bersara pada akhir 1991 ketika berusia 31 tahun.

“Perasaannya lain, kepuasannya juga berbeza. Sebagai pemain bola sepak, saya hanya berfikir untuk kemenangan dan ganjaran yang diperoleh. Menjadi ahli politik pula, saya perlu meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan dengan membantu menyelesaikan setiap masalah yang dihadapi mereka dengan sebaik-baiknya,” katanya.

Ramlan menceburi dunia politik selepas dipilih menjadi Ketua Pemuda UMNO cawangan Petaling Bahagia (Petaling Baru) pada 1990, sebelum dilantik menjadi Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO Bahagian Lembah Pantai pada 1993.

Penyertaan Ramlan dalam arena politik semakin menyinar apabila dipilih menjadi Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai, merangkap Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan dari 2018.

Ramlan yang sebelum itu berpengalaman sebagai Ketua Pemuda UMNO Bahagian Lembah Pantai tiga penggal berturut-turut menyifatkan kawasan itu sebagai unik kerana dihuni pelbagai lapisan masyarakat selain berharap dapat memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Sebagai anak jati Kuala Lumpur, saya rasa terpanggil untuk membantu semua golongan terutama B40 dan M40 dalam isu berkaitan dengan kepentingan awam, pendidikan, perumahan dan sebagainya manakala golongan T20 pula lebih mementingkan kepada perkhidmatan perbandaran dan keselamatan,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 Nov ini sebagai hari mengundi dengan pengundian awal pada 15 Nov. Ramlan akan menentang penyandang kerusi, Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil yang mewakili Pakatan Harapan (PH) selain calon Pejuang Noor Asmah Mohd Razali, dan Fauzi Abu Bakar (Perikatan Nasional) dalam pertandingan empat penjuru.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here