KUANTAN, 9 Nov — Manifesto Barisan Nasional (BN) Pahang bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan dilancarkan selewat-lewatnya pada Jumaat ini, kata Pengerusi BN negeri Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail

Menteri Besar Pahang itu berkata intipati manifesto yang dirangka berdasarkan tawaran atau inisiatif dalam Belanjawan Pahang 2023 itu kini dalam proses penilaian terakhir. 

“Manifesto BN Pahang realistik, malah akan menjadi pelengkap kepada belanjawan negeri. Menjadi tradisi BN, manifesto kita adalah tawaran yang mampu dilaksanakan dan bukannya menjanjikan bulan dan bintang,” katanya. 

Wan Rosdy berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program Kenduri Rakyat di Pusat Khidmat Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Lepar, Gambang di sini hari ini, yang turut dihadiri penyandang dan calon BN Parlimen Paya Besar Datuk Mohd Shahar Abdullah. 

Beliau berkaya manifesto itu juga boleh digunakan bagi menambah baik intipati Belanjawan Pahang 2023, sekiranya BN terus diberi mandat untuk meneruskan pentadbiran di Pahang selepas PRU15. 

Untuk rekod, Belanjawan Pahang 2023 dibentangkan pada 7 Okt lepas dan diluluskan pada 13 Okt, iaitu  sehari sebelum DUN Pahang dibubarkan.  

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here