KUALA LUMPUR, 9 Nov — Proses kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) memasuki hari kelima dengan calon bertanding giat menggunakan media sosial sebagai antara platform untuk menarik sokongan pengundi.

Kebanyakan calon bertanding itu menunjukkan kreativiti masing-masing dengan memuat naik video yang mengandungi aktiviti kempen mereka kepada pengundi menggunakan platform seperti Facebook, WhatsApp dan TikTok.

Ada juga dalam kalangan calon PRU15 tidak lagi mencetak risalah manisfesto mereka secara fizikal untuk tatapan masyarakat sebaliknya meletakkan kod ‘QR’ dan poster elektronik untuk dikongsi secara besar-besaran menerusi aplikasi WhatsApps serta Facebook.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga calon Parlimen Pagoh umpamanya membuat video TikTok ‘Swipe’, lagu hip hop yang dipopularkan oleh penyanyi Singapura, Alyph.

Dalam video berdurasi 15 saat bekas Perdana Menteri itu, beliau dilihat menunjukkan logo PN dengan manifesto parti itu ‘Prihatin, Bersih, Stabil’ dengan jari telunjuknya dan mendapat lebih 322,000 tanda suka (like) daripada netizen.

Calon PH Parlimen Puchong Yeo Bee Yin pula menampilkan diri dengan mendukung anak lelakinya berusia setahun dalam poster PRU15, yang diedarkan menerusi aplikasi WhatsApps dan Facebook dalam empat bahasa – Melayu, Inggeris, Tamil dan Mandarin. 

Dalam poster bertajuk ‘Fakta Tentang Bee Yin’ itu, ibu kepada dua anak lelaki tersebut turut menyelitkan biodata dan latar belakang karier politiknya sebagai bekas Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, selain bekas jurutera kimia dan penerima Biasiswa Cambridge Gates. 

Calon BN Kuala Selangor yang juga Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz pula memanfaatkan platform Facebook dan TikTok dalam menghasilkan video rangkuman kempen hariannya untuk tatapan pengundi. 

Selain video dan manifesto, beliau turut berkongsi jadual kempen hariannya dalam bentuk poster menerusi Facebook rasminya ‘Tengku Zafrul’ 

Timbalan Pengerusi PN yang juga penyandang kerusi Parlimen Tambun Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu turut memuat naik video di Facebook yang memaparkan papan iklan berbunyi “Never Lost in Tambun” (Tidak Pernah Kalah di Tambun) bagi menarik pengundi. 

Papan iklan itu memaparkan wajah Ahmad Faizal yang juga Timbalan Presiden Bersatu dan dipasang pada jejambat Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) di Jalan Tambun.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here