KUALA LUMPUR, 13 Nov — Seramai 146,737 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pasangan di seluruh negara akan menunaikan tanggungjawab masing-masing pada hari pengundian awal bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Selasa ini.

Panglima ATM Jen Tan Sri Affendi Buang, yang berharap proses berkenaan berjalan lancar berkata sebanyak 153 pusat mengundi telah diwartakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai pusat pengundian awal bagi anggota dan pasangan  ATM di seluruh negara.

“ATM sentiasa menyokong proses dan sistem Demokrasi Berparlimen di bawah pentadbiran Raja Berperlembagaan dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara.

“Atas kesetiaan kepada baginda juga, warga ATM sentiasa berpegang kepada norma integriti dalam melaksanakan amanah serta tanggungjawab demi kesejahteraan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

SPR menetapkan Selasa ini sebagai hari pengundian awal dan hari pengundian pada 19 Nov (Sabtu).

Dalam pada itu, Affendi berkata ATM juga bersedia menghulurkan bantuan kepada SPR, pihak berkuasa tempatan dan pihak berkuasa awam dalam memastikan proses pengundian pada 19 Nov ini berjalan lancar.

“Pada masa sama ia bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara daripada sebarang kemungkinan yang tidak diingini sepanjang proses pengundian serta apabila keputusan pilihan raya diumumkan kelak,” katanya.

Menurutnya ATM juga akan terus fokus kepada keutamaan dalam memperkasakan kesiapsiagaan angkatan demi melindungi kepentingan dan kedaulatan negara pada setiap masa.

“Apatah lagi, ketika negara kini memasuki musim monsun timur laut yang bermula sejak 7 Nov lepas dan akan berlarutan hingga Mac tahun depan.

“ATM telah bersiap siaga dan bersedia untuk mengatur gerak aset sekiranya berlakunya banjir terutama di negeri yang berisiko terjejas dengan bencana tersebut,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here