KUALA LUMPUR, 20 Nov — Tan Sri Noh Omar hari ini secara rasmi mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor selepas hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Presiden parti itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Noh berkata tindakan itu bukan disebabkan berkecil hati apabila digugurkan sebagai calon pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) namun cara dirinya tidak dicalonkan ibarat Presiden parti tidak menghargai sumbangan beliau membangunkan UMNO Selangor selama ini.

“Apabila beliau tidak ada kepercayaan kepada saya… saya nak umumkan hari ini bahawa saya dengan rasmi meletak jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor kerana bukan sahaja Presiden tidak percaya terhadap saya, saya pun dah hilang kepercayaan kepada Presiden,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menghadiri Mesyuarat Biro Politik UMNO di Menara Dato’ Onn di sini.

Walaupun sudah meletak jawatan, Noh berkata beliau masih Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan akan menghadiri mesyuarat itu namun tidak akan lagi hadir untuk Mesyuarat Biro Politik selepas ini.

Noh juga berkata pada Mesyuarat Biro Politik hari ini, beliau meminta Ahmad Zahid supaya berjiwa besar dan berundur daripada jawatan Presiden UMNO.

“Saya pun tadi minta kalau Presiden berjiwa besar, dia patut letak jawatan sebagaimana dulu Datuk (Seri) Najib (Tun Razak) bila kalah… dia dipaksa letak jawatan maka biarlah orang baharu menguruskan UMNO,” katanya.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin pula berkata kekalahan teruk BN pada PRU15 menunjukkan semua pemimpin parti itu perlu bertanggungjawab terhadap keputusan yang dibuat oleh rakyat kerana ia adalah kolektif. 

“Jadi kalau letak jawatan, semualah kena letak jawatan termasuk saya, bukan Presiden sahaja,” katanya yang turut mengakui kekalahan itu adalah paling teruk dalam sejarah UMNO dan BN.

Beliau berkata rakyat telah memilih menolak UMNO serta BN dan parti itu harus menerimanya namun menegaskan akan berusaha cara lain untuk memberi nafas baharu kepada rakyat.

“Setiap parti perlu mentransformasikan parti masing-masing sebab senario pada kali ini berbeza dengan PRU lalu… akan datang pun mungkin berbeza sebab itu kita kena pragmatik dalam tentukan hala tuju dan masa depan kita. 

“Kita akan pastikan UMNO dan BN akan terus memberi nafas baharu kepada rakyat di bawah (akar umbi) dan kita akan memikirkan cara terbaik untuk pastikan (parti) akan bertahan,” katanya yang juga Pengerusi BN Sabah. 

Berdasarkan keputusan rasmi yang diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya setakat 4.30 pagi tadi, BN hanya memperoleh 30 kerusi pada PRU15.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here