KUALA LUMPUR, 22 Nov — PAS meminta semua pihak menghormati keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Sabtu lepas dan seterusnya memelihara ketenteraman awam ketika negara kini melalui fasa pembentukan kerajaan.

Presidennya Tan Sri Abdul Hadi Awang turut menyeru semua pihak untuk menjunjung keluhuran perlembagaan, menghormati keutuhan undang-undang serta menghalang sebarang bentuk provokasi yang boleh menggugat keharmonian dalam negara.

“Malaysia sedang melalui fasa penting pembentukan kerajaan melalui proses Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan.

“PAS menegaskan untuk memelihara kestabilan politik dan ekonomi dalam negara dan seterusnya memberi amaran kepada mana-mana pihak supaya tidak menangguk di air yang keruh dan jangan sesekali dijolok sarang tebuan, demi menjaga kepentingan negara dan rakyat keseluruhannya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi peringatan kepada masyarakat agar tidak menimbulkan situasi atau sebarang provokasi yang boleh mengancam keselamatan dan ketenteraman awam melalui media sosial.

Ia berikutan PDRM mengesan tindakan pengguna media sosial memuat naik kandungan yang menyentuh sentimen perkauman atau keagamaan dan menghina institusi diraja susulan keputusan PRU15 serta pembentukan kerajaan.

Keputusan PRU15 menyaksikan Pakatan Harapan memperoleh 82 kerusi Parlimen diikuti Perikatan Nasional (73), Barisan Nasional (30), Gabungan Parti Sarawak (23), Gabungan Rakyat Sabah (enam), Warisan (tiga), Bebas (dua) serta Parti Bangsa Malaysia dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat masing-masing satu kerusi. 

Majoriti mudah untuk membentuk kerajaan ialah 112 kerusi namun ketika ini berlaku situasi Parlimen tergantung apabila tiada parti atau gabungan politik mendapat majoriti mudah untuk membentuk Kerajaan Persekutuan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here