KUCHING, 24 Nov — Parti Demokratik Progresif (PDP) tidak dimaklumkan mengenai Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang dititahkan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, semalam.

Presiden PDP Datuk Seri Tiong King Sing berkata memandangkan pertemuan itu pada saat akhir, beliau dan Ahli Parlimen Baram Datuk Anyi Ngau tidak dapat hadir.

“Kawasan Anyi (Baram) terlibat banjir dan keputusan (untuk kerusi itu juga ditangguhkan), beliau juga terlepas mesej di telefonnya.

“Saya tidak dimaklumkan untuk hadir ke istana (juga), mungkin mereka (GPS) tidak dapat menghubungi saya kerana (ia pada) saat akhir. Kita akan akur dengan keputusan Agong dan lihat bagaimana keadaannya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Bangunan Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini hari ini.

Tiong yang juga Ahli Parlimen Bintulu berkata PDP berharap kerajaan Persekutuan baharu akan dibentuk harus menjadi kerajaan yang berjiwa rakyat.

Semalam, wakil GPS yang terdiri daripada Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Fadillah Yusof; Setiausaha Agung GPS Datuk Seri Alexander Nanta Linggi; Timbalan Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Dtauk Seri Richard Riot Jaem dan Naib Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Datuk Aaron Ago Dagang telah menghadap Al-Sultan Abdullah di Istana Negara.

Menurut Fadillah, GPS telah diminta oleh Al-Sultan Abdullah supaya mempertimbangkan pembentukan kerajaan perpaduan bagi menamatkan kemelut politik semasa negara berikutan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada Sabtu (19 Nov).

GPS yang merupakan gabungan empat parti Sarawak terdiri daripada PBB, SUPP, PRS dan PDP memenangi 23 daripada 31 kerusi Parlimen di negeri itu pada PRU15.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here