KUCHING, 24 Nov — DAP membuat permohonan maaf atas sebarang kenyataan dibuat pemimpin parti itu sebelum ini yang telah menyinggung perasaan kerajaan negeri serta rakyat Sarawak.

Permohonan maaf itu disampaikan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook kepada Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam satu pertemuan di kediaman Abang Johari di sini hari ini.

Menerusi kenyataan di media sosial miliknya hari ini, Loke memaklumkan perbincangan secara mesra itu turut dihadiri Timbalan Premier Sarawak Datuk Seri Dr Sim Kui Hian.

“Saya berharap pertemuan hari ini akan membuka satu lembaran baru untuk membina persefahaman dan kerjasama demi negara Malaysia yang lebih maju dan progresif,” katanya.

Sementara itu, seorang pegawai Abang Johari mengesahkan pertemuan berkenaan namun tidak dapat menyatakan secara terperinci perkara yang dibincangkan oleh kedua-dua pihak. 

Semalam, Abang Johari, Pengerusi GPS dan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) mendengar taklimat daripada Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Fadillah Yusof yang sebelum itu mengetuai delegasi GPS menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Selepas memberi taklimat itu di pejabat Premier Sarawak di bangunan Dewan Undangan Negeri di sini, Fadillah berkata GPS telah dinasihatkan oleh Al-Sultan Abdullah agar mempertimbangkan penubuhan kerajaan perpaduan bagi mengakhiri kemelut politik negara yang berlaku sekarang.

GPS, gabungan empat parti tempatan Sarawak terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) memenangi 23 daripada 31 kerusi Parlimen di negeri itu pada PRU15.

Sementara itu, Pengerusi Kebangsaan DAP Lim Guan Eng turut menyatakan permohonan maafnya kepada Abang Johari dan Kerajaan Sarawak dalam satu hantaran lain di Facebook.

Dalam hantaran berkenaan, Lim berkata masa depan negara adalah lebih penting dan berharap permohonan maaf ini akan menjadi permulaan baru untuk menjalinkan kerjasama.

“(Kerjasama ini) akan memelihara kepelbagaian, keterangkuman dan perpaduan serta melindungi Perlembagaan Persekutuan kita untuk manfaat semua,” katanya.

Sementara itu di GEORGE TOWN, Pengerusi DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata Loke melakukan perkara yang betul untuk memulihkan hubungan baik dengan GPS dengan mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka untuk membentuk kerajaan perpaduan.

Beliau berkata Pakatan Harapan (PH) cuba membentuk kerajaan perpaduan demi kepentingan negara dan rakyat serta meletakkan agenda nasional mengatasi perasaan parti dan peribadi.

Bercakap kepada pemberita di luar Dewan Undangan Negeri di sini hari ini, Chow berkata beliau juga berharap permohonan maaf secara terbuka Loke akan dapat memulihkan hubungan dalam kalangan pelbagai parti khususnya GPS di Sarawak dengan DAP dan PH, dan seterusnya membawa hasil yang diingini PH dan parti politik lain untuk membentuk kerajaan Persekutuan.

Ketika ditanya bagaimana kerjasama antara PH dan Barisan Nasional (BN) dalam membentuk kerajaan Persekutuan akan memberi kesan kepada kerajaan negeri Pulau Pinang, beliau berkata masih terlalu awal untuk bercakap mengenainya dan perlu menyesuaikannya dengan penjajaran semula kuasa politik baharu. dalam negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here