PUTRAJAYA, 6 Dis — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan kelulusan mutakhir projek tebatan banjir berjumlah RM7 bilion daripada keseluruhan peruntukan sebanyak RM15 bilion yang dilaksanakan melalui rundingan terus tanpa proses tender supaya diteliti semula.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata kelulusan peruntukan itu tidak akan diteruskan dan akan diteliti semula supaya terdapat prinsip ketelusan dan mematuhi peraturan yang ditetapkan.

“Jumlah ini bukan kecil…atas alasan umpamanya membantu menyegerakan langkah tebatan banjir tetapi ada masalah apabila peraturan tidak dipatuhi dan ada upaya mencari kesempatan.

“Ini amat dikesalkan dan saya berterima kasih kerana pegawai kanan Kementerian (Kewangan) bersama dan tidak selari dengan maksud ini, tetapi pada ketika itu (hanya) mengikut arahan,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri sesi taklimat sejurus memulakan tugas secara rasmi sebagai Menteri Kewangan di Kementerian Kewangan (MOF) di sini.

Sementara itu, Anwar berkata beliau telah mendengar taklimat daripada pegawai-pegawai kanan MOF berhubung beberapa isu yang menjadi keutamaan menjelang persidangan Parlimen yang dijadualkan pada 19 dan 20 Dis. 

“Ada usul mengenai peruntukan gaji dan beberapa peruntukan kelulusan kewangan yang mendesak. Jika tidak, gaji tidak boleh dibayar pada Januari.

“Belanjawan akan dibahaskan pada sesi Parlimen tahun depan selepas Yang di-Pertuan Agong (Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) merasmikan sidang Parlimen,” katanya. 

Anwar berkata kerajaan perpaduan akan memberi tumpuan kepada menyediakan iklim yang segar dan positif untuk menggalakkan pelaburan, memulihkan keyakinan dan memacu pertumbuhan ekonomi negara. 

Ditanya mengenai barisan penasihat ekonomi yang akan dilantik oleh beliau untuk menganggotai pasukan yang diketuai oleh Penasihat Petronas Tan Sri Mohd Hassan Marican, Anwar menegaskan perkara itu masih dalam perbincangan.

“Saya perlu berbincang dengan Mohd Hassan, dari segi parameter dan keutamaan serta sudah tentu akan berunding dengan pegawai kanan yang berkaitan di MOF dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan yang baharu,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here