KUALA LUMPUR, 12 Dis — Radio Televisyen Malaysia (RTM) disasar menerima 120 juta tontonan pada 2023, peningkatan 30 peratus berbanding tahun ini seiring usaha menambah baik rancangan dan kandungan di platform berkenaan.

Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital Datuk Seri Mohammad Mentek berkata pemilihan rancangan yang unik, realiti, berpotensi disukai ramai dan mengikut perkembangan terkini akan menarik penonton ke pelbagai saluran RTM seperti TV1, TV2, Okey, BES dan Sukan RTM.

“Untuk menarik orang ramai ke saluran ini, sudah tentu kita memerlukan kandungan yang bagus, segar dan relevan,” katanya kepada pemberita selepas Sesi Town Hall Bersama Penerbit Program Televisyen di sini hari ini.

Beliau berkata proses pemilihan rancangan juga bakal ditambah baik menerusi kaedah ‘open pitching’  (pembentangan idea) berbanding pemilihan yang dilakukan setahun sekali sebelum ini.

Menurutnya proses pemilihan setahun sekali itu menyebabkan lambakan kandungan dan program oleh para penerbit sehingga penilaian mengambil masa yang lama.

“Tahun depan agak berbeza, kita akan adakan ‘open pitching’, namun masih perlu diperhalusi kerana perlu berbincang dengan pihak Kementerian Kewangan (MOF) tentang kaedah-kaedah perolehan untuk ‘open pitching’.

“Saya lihat penyiar swasta memang sudah ada amalan ‘open pitching’ tetapi oleh sebab kita tertakluk kepada prosedur perolehan MOF, kita perlu mengadakan perbincangan dengan mereka,” katanya.

Sementara itu, sebanyak 133 syarikat penerbitan yang terpilih menerima Surat Serah Terima (SST) bagi siaran tahun depan yang terdiri daripada beberapa kategori seperti telemovie, drama bersiri, majalah, realiti masakan dan animasi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here