PETALING JAYA, 15 Dis — Datuk Seri Mohd. Shafiq Abdullah mahu terus menyumbang idea dan pandangan terutama untuk pembangunan negara biarpun sudah ditamatkan perkhidmatan sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam.

Sehubungan itu beliau berkata, ia sedikit sebanyak diharap dapat membantu negara terus kukuh walaupun menghadapi rintangan dan cabaran di masa depan.

“Saya tak pencen untuk berfikir membuat perubahan memberikan kebaikan dalam perkhidmatan awam (bagi memberi) manfaat kepada kesejahteraan negara.

“Saya telah melihat perkembangan negara lebih 30 tahun dan mempunyai pengalaman belajar di luar negara, jadi bukan sahaja semasa berada di dalam kerajaan, di luar pun kita boleh memberi sumbangan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Dalam masa sama, Mohd. Shafiq enggan memberikan sebarang ulasan berhubung tindakan undang-undang yang akan diteliti susulan penamatan perkhidmatannya yang berkuat kuasa Isnin lepas.

Dalam satu kenyataan semalam, Mohd. Shafiq melahirkan rasa amat terkilan dan tidak berpuas hati dengan keputusan kerajaan menamatkan perkhidmatannya sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam.

Beliau bercadang untuk meneliti semakan perundangan secara mendalam keputusan diambil kerajaan itu demi menjaga nama baik dan kepentingan anggota perkhidmatan awam.

Mohd. Shafiq berkata, surat penamatan perkhidmatannya bertarikh 1 Disember lalu hanya diterima kelmarin tanpa diberikan notis munasabah di mana tarikh berkuat kuasa penamatan perkhidmatan pada hari sama.

Beliau sedar, beberapa usaha tanpa henti dilaksanakan untuk memburukkan imej dan reputasinya melalui isu-isu viral di media sosial dan media massa yang semakin memuncak dengan tindakan penamatan perkhidmatannya.

Beliau menegaskan tidak pernah mengancam kepentingan awam dalam sebarang perkhidmatan dan tindakannya semasa menjawat jawatan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam dilaksanakan secara amanah dan tegas.

Media sebelum ini melaporkan, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali memaklumkan perkhidmatan Mohd. Shafiq ditamatkan demi kepentingan awam di bawah Peraturan 49(3) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U (A) 395/1993] Dan Dibersarakan Mengikut Perenggan 10(5)(D) Akta Pencen 1980 [Akta 277].

Surat itu turut memberitahu penamatan Mohd. Shafiq sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik Gred Utama Turus 1 (Memangku) demi kepentingan awam di bawah peraturan yang disebutkan itu.

Mohd. Shafiq dilantik memegang jawatan itu pada 10 Februari lalu menggantikan Tan Sri Mohd. Khairul Adib Abd. Rahman yang bersara wajib pada 16 Jan 2022.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here