BEIJING, 23 Dis — China menyambut baik keputusan kumpulan pakar Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) berhubung kes pertikaian perdagangan Hong Kong, China dengan Amerika Syarikat (AS) mengenai langkah Ketetapan Kastam Tempat Asal (ROO).

Demikian kata jurucakap Kementerian Luar, Mao Ning dalam sidang media pada Khamis sebagai respons terhadap laporan WTO yang menyatakan pelaksanaan ROO oleh AS melanggar peraturan organisasi perdagangan antarabangsa itu.

Mao berkata status Hong Kong sebagai kawasan kastam yang berasingan diluluskan kerajaan China dan disahkan oleh ‘Undang-undang Asas Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong Republik Rakyat China’.

Perkara itu sekali gus membawa makna bahawa ia ditubuhkan di bawah peraturan pelbagai hala WTO dan bukan diberikan secara sepihak oleh mana-mana negara anggota semata-mata.

“AS yang menyalahgunakan konsep keselamatan negara dan mempolitikkan isu perdagangan adalah  melanggar peraturan WTO dan tidak memenuhi kepentingannya sendiri,” tegas beliau.

Mao turut menggesa AS menghormati keputusan kumpulan pakar WTO tersebut, mengambil tindakan praktikal untuk membetulkan amalan yang salah, mengekalkan sistem perdagangan pelbagai hala berteraskan WTO dan memelihara peraturan perdagangan antarabangsa yang normal.

“China mengekalkan dasar ‘satu negara, dua sistem’, dengan tegas menentang campur tangan kuasa luar dalam hal ehwal Hong Kong, menyokong Hong Kong dalam mengekalkan statusnya sebagai kawasan kastam yang berasingan.

“China turut menyokong Hong Kong dalam menyatukan dan meningkatkan statusnya sebagai pusat kewangan, perkapalan dan perdagangan antarabangsa,” tambah beliau.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here