BEIJING, 28 Dis — Pelarasan tahap pengurusan COVID-19 yang dilaksanakan China dibuat berdasarkan persiapan rapi yang mengambil kira segenap aspek dan bukan langkah pelonggaran yang dilakukan secara terpaksa, menurut Suruhanjaya Kesihatan Negara (NHC).  

Pada Selasa, NHC mengumumkan keputusan untuk menurunkan tahap pengurusan wabak COVID-19 daripada Kelas A kepada Kelas B bermula 8 Jan 2023.

Timbalan ketuanya, Li Bin berkata keputusan itu dibuat setelah mempertimbangkan kesesuaian dari sudut ciri-ciri penyakit berjangkit, kesannya terhadap kesihatan, situasi penularan serta kerja-kerja pencegahan dan kawalan berkenaan.

Katanya, China berjaya menahan tempias lima gelombang wabak di seluruh dunia menerusi langkah kawalan ketat sepanjang tiga tahun lalu.

“Usaha berkenaan berjaya mengelak strain asal dan varian Delta yang mempunyai kepatogenan agak kuat daripada merebak lebih meluas.

“Ia juga membantu mengurangkan kadar jangkitan serius dan kematian dengan ketara, hingga meraih masa yang berharga untuk penyelidikan, pembangunan dan penggunaan vaksin serta penyediaan sumber perubatan,” kata beliau semasa sesi taklimat pada Selasa.

Li memaklumkan bahawa kerja pencegahan dan kawalan COVID-19 di China telah memasuki fasa baharu dan mendepani situasi serta tugas baharu.

“Kami memantau teliti ciri-ciri virus, mengkaji dan menilai perubahan situasi pandemik di samping mempercepatkan vaksinasi dan bekalan ubat-ubatan, memperkukuh pembinaan sistem rawatan perubatan serta pencegahan dan kawalan selain menaik taraf keupayaan respons kecemasan.

“Kesemuanya adalah prasyarat untuk melaraskan klasifikasi jangkitan COVID-19 di sisi undang-undang,” jelas Li.

Li berkata tumpuan akan diberikan kepada penyediaan sumber rawatan perubatan pada fasa seterusnya termasuk menjamin bekalan ubat-ubatan untuk rakyat.

“Kami akan melakukan yang terbaik untuk melindungi dan merawat kumpulan berisiko tinggi termasuk warga emas dan kanak-kanak serta memperkukuh pencegahan dan kawalan wabak di kawasan desa, sekali gus menjamin kesihatan dan keselamatan rakyat,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here