SHAH ALAM, 31 Dis — Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin hari ini bertitah agar setiap ahli masyarakat mengetepikan fahaman politik dan perbezaan luaran sempena tahun baharu 2023.

Baginda berdua dalam perutusan Tahun Baharu 2023 menerusi hantaran di Facebook Selangor Royal Office bertitah supaya usaha itu dilaksanakan dalam mengatasi segala permasalahan dan cabaran yang sedang didepani oleh negara yang disayangi.

Menurut hantaran itu, di tahun baharu ini juga, baginda berdua berharap agar rakyat terus mengutamakan keamanan dan keharmonian serta mengelak daripada menyentuh isu sensitif yang boleh memudaratkan ikatan perpaduan sesama kaum.

Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Selangor bertitah mahu semua pihak perlu berganding bahu dan bekerjasama untuk membina kembali negara yang semakin pulih selepas fasa pandemik dan membawa semula negara ke peringkat lebih baik dalam semua aspek termasuk sosial, politik dan ekonomi.  

Dalam pada itu, baginda berdua mendoakan agar 2023 akan membawa sinar baharu yang lebih gemilang dan cemerlang untuk sekalian rakyat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here