KUALA LUMPUR, 4 Jan — Jenama automotif nasional, Proton Holdings Bhd (Proton) mengakhiri tahun 2022 dengan pertumbuhan jualan empat tahun berturut-turut pada 141,432 unit (domestik dan eksport), jumlah jualan keseluruhan tertinggi sejak 2013.

Proton menjelaskan jumlah jualan meningkat 23.3 peratus walaupun menghadapi kesukaran pada awal tahun apabila pembekalan alat ganti terjejas akibat banjir, dan kekurangan cip di peringkat global menyebabkan penurunan jumlah jualan untuk empat bulan pertama.

“Sementara itu, jumlah jualan untuk pasaran antarabangsa pula meningkat kepada 5,406 unit, berkembang 79.1 peratus dan membolehkan Proton mengakhiri tahun ini sebagai pengeksport utama industri.

“Secara keseluruhan, syarikat telah mengekalkan kedudukan di tangga kedua dalam industri dengan anggaran pegangan pasaran sebanyak 19.6 peratus,” jelasnya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, jumlah keseluruhan industri (TIV) bagi 2022 dianggarkan melebihi 720,000 unit — catatan tinggi baharu industri di samping jualan pada Disember yang memecahkan rekod.

Jualan untuk lima daripada enam model Proton meningkat pada 2022 dengan tiga model mengakhiri tahun lepas sebagai peneraju segmen.

“Proton X50 terus menjadi SUV (kenderaan utiliti sukan) terlaris di Malaysia dengan jualan 3,764 unit pada Disember sekali gus mengakhiri tahun itu dengan rekod jualan tahunan SUV baharu sebanyak 40,681 unit.

“Ini merupakan peningkatan sebanyak 41.4 peratus berbanding 2021 dan menjadikan SUV segmen B ini model kedua paling laris antara barisan model Proton,” tambahnya.

Proton X70 pula mengekalkan kedudukannya sebagai SUV segmen C terlaris untuk empat tahun berturut-turut walaupun menghadapi cabaran kuat daripada pesaing baharu.

X70 mengakhiri 2022 dengan 1,787 unit terjual pada Disember dan angka keseluruhan sebanyak 18,533 unit, meningkat sebanyak 13.1 peratus daripada jumlah tahun sebelumnya, jelas Proton.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah berkata dalam melangkah di tahun 2023, Proton yakin dapat merekodkan lebih banyak pertumbuhan dengan penambahan rangkaian tawaran serta pelancaran model baharu tahun ini.

“Walau bagaimanapun, kami menjangkakan TIV menyusut daripada angka tahun 2022 kerana penghantaran pesanan yang dibuat semasa tempoh pengecualian cukai jualan akan dibuat pada akhir Mac.

“Kadar faedah juga dijangka meningkat lagi tahun ini jadi, ia akan menyukarkan industri automotif untuk terus meningkatkan jualan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here