IPOH, 5 Jan — Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak berjaya membanteras aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi melibatkan rampasan bernilai lebih RM100,000 menerusi operasi di sebuah premis di Taman Perindustrian Tungzen di Simpang Pulai dekat sini, semalam.

Pengarahnya Saifullizan Kamarul Zaman berkata operasi itu hasil intipan anggota penguat kuasa berkaitan aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi di stesen minyak di sekitar Simpang Pulai dan Gopeng sejak dua minggu lepas.

Beliau berkata pihaknya berjaya mengesan sebuah lori kanvas dalam keadaan mencurigakan yang disyaki sedang mengisi minyak di sebuah stesen minyak pada pukul 1.30 tengah hari semalam.

“Intipan juga telah mengesan lori kanvas itu mengisi minyak di stesen minyak tersebut terlalu lama iaitu kira-kira satu jam. Curiga dengan keadaan tersebut, anggota penguat kuasa mengekori pergerakan lori kanvas berkenaan.

“Hasil tindakan tersebut telah berjaya menemukan satu lokasi premis pusat pengumpulan minyak disyaki diesel di Taman Perindustrian Tungzen yang juga disyaki beroperasi tanpa lesen sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Saifullizan berkata hasil pemeriksaan mendapati terdapat dua ‘skid tank’ berisi minyak disyaki diesel di premis tersebut serta terdapat dua ‘square tank’ berisi minyak disyaki diesel berada di atas lori yang ditutupi oleh kanvas tersebut.

Dua lelaki masing-masing berusia 32 dan 42 tahun dipercayai  pemandu lori serta pemilik premis telah ditahan bagi membantu siasatan lanjut, katanya.

Menurut beliau sebanyak 7,600 liter minyak disyaki diesel serta peralatan kelengkapan lain telah disita selain tiga lori yang diubah suai pada tangki asal untuk digunakan bagi membeli minyak diesel di stesen minyak yang berdekatan. 

Katanya nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM102,640 dan siasatan akan dijalankan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here