JOHOR BAHRU, 8 Jan — Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah kerajaan negeri sentiasa mengambil berat terhadap pembangunan sosioekonomi dan kebajikan masyarakat Orang Asli.

Baginda bertitah masyarakat Orang Asli bukanlah golongan terpinggir, sebaliknya Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) sentiasa memastikan golongan berkenaan terus membangun dan maju.  

“Pada masa sama, JAKOA perlu lebih sentiasa peka khususnya berkaitan pentadbiran penempatan atau perkampungan masyarakat Orang Asli dengan Tok Batin atau penghulu turut memainkan peranan penting,” titah Sultan Ibrahim menerusi hantaran di laman Facebook rasmi baginda hari ini.

Sultan Johor bertitah selain menjadikan pembangunan masyarakat di sesuatu perkampungan sebagai keutamaan, JAKOA juga perlu memberi perhatian dalam pemilihan Tok Batin dengan memastikan pemilihan perlulah dalam kalangan suku kaum, bukannya orang luar.

“Tok Batin yang dipilih juga perlu tahu fungsi serta peranan mereka. Pada masa sama, jangan ada pihak mengambil kesempatan dengan menghasut masyarakat Orang Asli,” titah baginda.

Sultan Ibrahim bertitah menasihatkan masyarakat Orang Asli sentiasa menjaga kebersihan dan keindahan penempatan masing-masing selain memastikan aspek kesihatan sentiasa terjaga.

Sementara itu, baginda bertitah masyarakat berbilang kaum yang hidup bersatu-padu menjadi tunjang perpaduan Bangsa Johor selama ini.

“Atas sebab itulah, perlunya peraturan-peraturan tertentu bagi mengawal keharmonian dan kesejahteraan ini, termasuk berkaitan pembinaan rumah-rumah ibadat. Saya menyeru semua rakyat mematuhi peraturan-peraturan ini demi kesejahteraan sejagat,” titah baginda.

Hantaran itu turut memaklumkan Sultan Ibrahim telah mengadakan pertemuan bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Tan Sri Dr Azmi Rohani, Mufti Johor Datuk Yahya Ahmad dan wakil daripada JAKOA Johor serta JAKOA Daerah Johor Bahru.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here