KUALA LUMPUR, 9 Jan — Lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Indonesia diharap dapat mengukuhkan kepentingan nasional Malaysia dan negara jiran itu termasuk berkongsi kemakmuran ekonomi bagi rakyat kedua-dua negara.

Penganalisis Politik dan Hubungan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata kerjasama strategik antara kedua-dua negara membolehkan pelaburan ekonomi berasaskan makanan dan produk halal dikembangkan memandangkan Indonesia antara negara di Asia Tenggara yang memiliki pasaran besar dengan kependudukan melebihi 200 juta orang.

“Ini sekali gus memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk melabur bersama Indonesia demi memakmurkan ekonomi secara bersama.

“Selain itu, kalau eratnya hubungan antara Malaysia dan Indonesia, isu kontroversi seperti berkaitan tarian, makanan dan bahasa dapat diredakan dan kita boleh fokus kepada isu besar seperti menjadikan kedua-dua negara sebagai kuasa besar atau kuasa pertengahan di peringkat global,” katanya ketika menjadi tetamu program Malaysia Petang Ini bertajuk ‘Lawatan Rasmi Sulung PM10: Mengukuh Malaysia-Indonesia’ terbitan Bernama TV.

Mengulas lanjut, beliau berkata kunjungan itu juga dilihat memberi peluang yang baik kepada kedua-dua negara memperkasa sektor pelancongan kesihatan serta pendidikan kerana Malaysia adalah destinasi pelancongan kesihatan dan pendidikan utama kepada rakyat republik itu.

 Perdana Menteri berada di Indonesia selama dua hari dalam lawatan rasmi pertamanya ke luar negara sejak menyandang jawatan itu pada 24 Nov lepas.

 Sempena lawatan itu, Anwar turut menyaksikan pertukaran sembilan memorandum persefahaman melibatkan syarikat Malaysia bagi pelbagai projek dan kerjasama selain sesi penyerahan surat hasrat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here