GEORGE TOWN, 12 Jan — China Southern Airlines akan menawarkan kembali perkhidmatan penerbangan terus di antara Guangzhou dengan Pulau Pinang mulai 1 Mac, 2023.

Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Yeoh Soon Hin berkata syarikat penerbangan itu telah terbang ke Pulau Pinang sejak 1991 sekali gus membuka laluan udara di antara China dan Pulau Pinang.

Beliau berkata penyambungan penerbangan terus itu akan menggalakkan lebih keyakinan dalam pasaran pelancongan negeri dan menawarkan berita menarik untuk peserta industri pelancongan tempatan memandangkan China mempunyai perbelanjaan pelancongan keluar tertinggi di dunia.

“Kita mengalu-alukan China Southern Airlines untuk menyambung perkhidmatan bagi laluan Guangzhou-Pulau Pinang semasa pelonggaran sekatan rentas sempadan China,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata syarikat penerbangan itu akan terbang terus dari Guangzhou ke Pulau Pinang pada 5:25 petang mulai 1 Mac dan seterusnya dengan jangkaan masa ketibaan (ETA) di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PEN) adalah kira-kira pukul 9 malam.

Pada 2 Mac, pesawat itu akan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PEN) pada 9:05 pagi dan ETA di Guangzhou pada pukul 12:35 tengah hari, katanya.

Yeoh berkata penyambungan laluan udara di antara Pulau Pinang dengan China itu adalah sebahagian daripada tanggungjawabnya untuk membantu semua pengendali pelancongan di negeri ini.

“Pihak saya sentiasa berusaha untuk mengukuhkan kehadiran pasaran dan populariti Pulau Pinang di China.

“Kita juga bergerak seiring dengan trend semasa dan mempromosikan ‘Experience Penang’ di China menerusi perkhidmatan pengehosan video pendek, TikTok,” katanya dengan menambah akaun TikTok itu kini memperoleh lebih 200,000 pengikut.

Beliau berkata pihaknya juga merancang untuk melancarkan satu siri strategi promosi dalam talian dan luar talian di utara, tengah dan selatan China tahun ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here