KUALA LUMPUR, 16 Jan — Pembukaan semula sempadan China dilihat sebagai pemangkin untuk aktiviti perdagangan luar dan pelancongan Malaysia, kata MIDF Research.

Dalam laporan penyelidikannya hari ini, ia mengunjurkan eksport dan import Malaysia berkembang masing-masing sebanyak 9.2 peratus dan 9.5 peratus untuk tahun 2023 berbanding 27.1 dan 32 peratus,  pada 2022.

“Ratifikasi Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) pada Mac 2022 dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) pada Oktober 2022 akan meningkatkan prestasi perdagangan luar Malaysia untuk 2023 dan tahun-tahun seterusnya,” kata MIDF.

Pertumbuhan import China khususnya dijangka meningkat secara berterusan untuk menyokong aktiviti ekonomi tempatan yang bertambah baik, katanya.

Bagaimanapun, pertumbuhan eksport dijangka mengalami beberapa cabaran berikutan permintaan global yang lemah akibat kesan dasar monetari yang semakin ketat, katanya.

“Pada masa hadapan, jangkaan pasaran dan Bank Dunia meramalkan pemulihan ekonomi China dengan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) melebihi empat peratus,” katanya.

Kesan daripada langkah yang kurang ketat boleh dilihat dalam aliran bulan ke bulan dalam prestasi perdagangan luar China, kata MIDF.

Eksport China mengembang 7.8 peratus tahun ke tahun pada 2022 berbanding 36.8 peratus setahun lalu.

Import pula meningkat dua peratus berbanding 30.6 peratus pada 2021 sementara pertumbuhan import yang lebih rendah disebabkan terutamanya oleh beberapa siri sekatan yang dikenakan sepanjang tahun.

Eksport China menyusut dengan ketara pada Disember apabila permintaan global mereda.

Import turut merosot semula apabila jangkitan COVID-19 yang meningkat dan kemerosotan harta tanah memberi kesan kepada permintaan domestik, mencetuskan risiko kepada pemulihan ekonomi negara tahun ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here