KUALA LUMPUR, 18 Jan (Bernama) — Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Jawaharlal Nehru University (JNU) memeterai memorandum perjanjian (MoA) bagi menubuhkan Kursi Pengajian Tamadun Alam Melayu di School of Language, Literature and Culture Studies, JNU, India.

MoA itu ditandatangani Naib Canselor UKM Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman dan Naib Canselor JNU Prof Santishree Dhulipudi Pandit dengan disaksikan Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia B.N. Reddy dan Pengerusi Lembaga Pengarah UKM Prof Emeritus Datuk Dr Mohamad Abd Razak di UKM, semalam.

Mohd Ekhwan berkata penubuhan kursi berkenaan mampu memartabatkan bahasa dan tamadun Melayu di persada antarabangsa menerusi aktiviti kolaborasi penyelidikan, penerbitan bersama, pengajaran, persidangan dan jaringan strategik antara kedua-dua universiti awam itu.

“Keupayaan UKM menawarkan Bahasa Melayu dan Ilmu Ketamadunan Melayu ini sebaris dengan bahasa dan budaya asing yang ditawarkan di School of Language, Literature and Culture Studies, JNU dengan bahasa dan budaya Melayu dapat diajar dalam makmal bahasa yang lengkap selain kemudahan multimedia di fakulti berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata Penyandang Kursi yang bakal dilantik berperanan memperkenalkan bahasa Melayu selain menarik minat pelajar di JNU untuk mempelajari bahasa serta budaya ketamadunan Melayu setanding dengan subjek bahasa dan budaya pelbagai bangsa yang diajar di pusat pengajian bahasa asing di JNU.

Menyorot sejarah penubuhan kursi tersebut, Mohd Ekhwan berkata idea dan hasrat itu tercetus semasa lawatan kerja bekas Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad ke India pada Mei tahun lepas yang diiringi Mohamad dan Pro Canselor Universiti Cyberjaya Tan Sri Dr R. Palan.

Beliau berkata ia adalah kesinambungan daripada kursi-kursi Pengajian Melayu yang dianjurkan  kerajaan menerusi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) termasuk Kursi Pengajian Melayu di Universiti Leiden, Belanda (1993), University Victoria of Wellington, New Zealand (1997), Beijing Foreign Studies University (2007) dan Hankuk Foreign Studies University, Seoul (2008).

Justeru, Mohd Ekhwan berkata penubuhan Kursi Pengajian Tamadun Alam Melayu di JNU, India tersebut adalah peluasan konsep pengajian Melayu sedia ada.

Selain itu, beliau berkata penubuhan kursi itu juga bermatlamat mendokong usaha KPT dalam menggalakkan ahli akademik serta mahasiswa, memperkaya dan memperluas bahasa Melayu dalam pelbagai disiplin ilmu di serata dunia.

Sementara itu, Santishree berkata MoA berkenaan merupakan peristiwa bersejarah bagi kedua-dua universiti itu yang mampu mengukuhkan lagi hubungan antara Malaysia dan India.

Menurutnya, menerusi kerjasama tersebut, bahasa Melayu akan dimasukkan ke dalam senarai 32 subjek bahasa asing yang ditawarkan di universiti berkenaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here