JOHOR BAHRU, 22 Jan — Kerajaan negeri hari ini mengumumkan sumbangan sebanyak RM200,000 kepada Persekutuan Tionghua Johor Bahru bagi menjayakan Perarakan Chingay di sini, tahun ini.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata ia bagi membolehkan majlis itu diadakan secara besar-besaran dalam masa terdekat, seperti sambutan yang dilakukan sebelum pandemik COVID-19 melanda negara.

“Perarakan Chingay sudah dua tahun tidak dapat dilaksanakan dan tahun lepas juga ia hanya diadakan secara tertutup dan dalam skala kecil.

“Kita bergerak sebagai satu keluarga, untuk tunjukkan komitmen itu, kerajaan negeri menyokong usaha yang dilakukan persatuan Tionghua, dengan sukacita saya umumkan peruntukan sebanyak RM200,000 untuk penganjuran Perarakan Chingay yang akan diadakan besar-besaran tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra dan Muhibah Sempena Sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Persekutuan Tionghua Johor Bahru di Wisma Tionghua, di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Akmal Nasrullah Mohd Nasir, Presiden Persekutuan Tionghua Johor Bahru Ho Sow Tong dan barisan exco kerajaan negeri.

Tahun lepas, sambutan dan Perarakan Chingay dibenarkan, namun dalam skala kecil dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), dengan jumlah peserta terlibat ditetapkan antara 100 hingga 220 orang mengikut hari berbeza.

Perarakan Chingay yang merupakan satu acara agama dan budaya masyarakat Tionghua yang berlangsung di Johor Bahru sejak 1870 itu turut melibatkan perarakan kereta berhias sepanjang 7.8 kilometer di bandaraya itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here