MONTEREY PARK, 24 Jan — Seorang lagi mangsa dalam kejadian tembakan di sebuah premis perniagaan di Monterey Park ketika sambutan Tahun Baharu Cina meninggal dunia semalam.

Ketua Polis Monterey Park, Scott Wiese, berkata mangsa maut ketika menerima rawatan di hospital akibat kecederaan yang dialaminya.

Katanya, kesemua mangsa maut berusia antara 50 hingga 80 tahun.

Motif serangan, yang disifatkan sebagai kejadian tembakan rambang terburuk di California, masih dalam siasatan.

Kejadian berlaku ketika sambutan Tahun Baharu Cina di studio tarian Star Ballroom yang terletak di Monterey Park.

Premis terbabit popular dalam kalangan warga emas berketurunan Cina.

Suspek dikenal pasti sebagai Huu Can Tran, 72, maut ketika serbuan polis di Torrance kelmarin.

Tran dikatakan maut akibat luka tembakan yang dilepaskan sendiri.

Dalam kejadian pada Sabtu, 10 mangsa maut, manakala 10 lagi cedera akibat tembakan yang dikatakan dilepaskan Tran.

Pihak berkuasa selepas itu berkata, suspek menyasarkan lokasi kedua di Alhambra, namun berjaya dipatahkan selepas pistol yang dipegang suspek berjaya dirampas oleh dua orang awam.

Ketika ini polis di Hemet sedang memeriksa rumah bergerak Tran yang terletak bagi mengenal pasti punca kejadian. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here