ALOR SETAR, 25 Jan — Wabak selesema burung yang sedang melanda Amerika Syarikat dan beberapa negara Eropah tidak menjejaskan bekalan ayam di pasaran negara. 

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu berkata walaupun negara belum mencatatkan kes selesema burung, pihaknya sentiasa memantau perkembangan wabak itu.

“Setakat ini, wabak selesema burung itu tidak memberi sebarang kesan kepada bekalan ayam negara,” katanya kepada pemberita selepas melawat sebuah pusat jualan ayam di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada bekalan ayam negara akan terjejas berikutan penularan selesema burung di beberapa negara sehingga menyebabkan puluhan ribu ayam terpaksa dimusnahkan di negara terbabit.

Sementara itu, ditanya mengenai subsidi bersasar kepada penternak ayam, Mohamad berkata ia sedang dibincangkan dengan agensi terlibat termasuk Kementerian Kewangan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here