KUALA LUMPUR, 27 Jan — Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO Tan Sri Noh Omar mendakwa beliau telah dipecat daripada parti itu serta-merta.

Beliau berkata pemecatan itu atas kehendaknya sendiri selepas namanya tersenarai sebagai antara ahli yang digantung selama enam tahun seperti diumumkan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam mesyuarat MT malam ini.

“Malam ini sejarah bagi saya, dalam ucapan mukadimah presiden dah umum beberapa ramai yang dipecat, yang digantung… dalam pengumuman itu tiba-tiba nama saya pun tersenarai sebagai untuk digantung keahlian saya selama enam tahun.

“Kalau nak gantung saya selama enam tahun, lebih baik pecat sahaja saya. Saya yang minta dipecat, jadi Presiden kata kalau tuan badan sendiri setuju dipecat maka pecatlah,” kata Noh ketika ditemui pemberita di lobi Menara Datuk Onn di sini.

Noh yang juga bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor turut mempertikaikan keputusan MT untuk menggantung keahliannya, sedangkan menurutnya beliau hanya akan bertemu dengan Lembaga Disiplin UMNO seperti yang telah ditetapkan pada 30 Jan ini.

Setakat pukul 11.20 malam ini, wakil media masih menunggu kenyataan rasmi daripada Presiden UMNO.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here