KUALA LUMPUR, 30 Jan — Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengeluarkan Arahan Memberhentikan Kerja serta-merta kepada Tetuan Persekutuan Seruan Islam (Jam’iyah) Selangor dan Wilayah Persekutuan iaitu pemilik projek Cadangan Membina 1 Blok 44 Tingkat Menara SOHO (326 unit) dengan satu Basemen di Lot PT 163, Jalan Raja Laut, di sini.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata Arahan Memberhentikan Kerja itu dikeluarkan berikutan gangguan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) bagi Laluan Ampang yang berlaku pada 27 Jan lepas.

Menurutnya, keputusan itu dibuat hasil daripada mesyuarat bersama wakil dari Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dan beberapa jabatan dalaman DBKL iaitu Jabatan Perancangan Infrastruktur, Jabatan Kawalan Bangunan, Jabatan Perancangan Bandaraya, Jabatan Kejuruteraan Awam dan Saliran, Jabatan Undang-Undang dan Pendakwaan serta Jabatan Perancangan Korporat pada 28 Jan lepas.

“Arahan ini dibuat sebagai langkah keselamatan bagi memastikan APAD dan agensi berkaitan dapat menjalankan siasatan, penelitian, seterusnya mengenal pasti punca gangguan yang berlaku baru-baru ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata projek tersebut kini hanya di peringkat awalan iaitu melibatkan kerja-kerja tanah di luar daripada kawasan zon 1 dan zon 2 (protection zone).

“DBKL menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Pusat Setempat (One Stop Committee atau OSC) akan melibatkan pihak APAD dan Prasarana bagi mendapatkan pandangan mereka khususnya apabila terdapat permohonan pembangunan yang terletak dalam atau berhampiran dengan zon keselamatan keretapi),” katanya.

Pada 27 Jan lepas, perkhidmatan LRT bagi Laluan Ampang mengalami kelewatan atas faktor keselamatan akibat penjajaran landasan yang bengkok berhampiran stesen LRT Bandaraya.

Rapid Rail Sdn Bhd dalam kenyataan memaklumkan pemerhatian awal menunjukkan berlaku kerosakan struktur jejambat di kawasan berkenaan, dipercayai akibat daripada kerja-kerja pembinaan bersebelahan dengan kawasan itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here