WASHINGTON, 4 Feb — Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken menangguhkan lawatannya ke China yang sepatutnya bermula semalam susulan laporan mengenai belon pengintip negara itu dikesan tentera AS berada di ruang udara di negeri Montana.

Belon yang disyaki terbang merentasi ruang udara AS disifatkan Washington sebagai bukti pencerobohan kedaulatan negara berkenaan.

Jurucakap Rumah Putih, Karine Jean-Pierre, berkata Presiden AS, Joe Biden sudah diberikan taklimat mengenai kewujudan belon itu Selasa lalu sebelum barisan pentadbiran secara konsensus memutuskan wujudnya ketidakwajaran untuk meneruskan lawatan ke China buat masa ini.

China semalam, menyatakan kekesalan bahawa ‘pesawat udara’ yang digunakan bagi tujuan meteorologi awam dan misi saintifik lain tersasar ke ruang udara AS.

Mengulas mengenai perkara itu, Jean-Pierre berkata, pentadbiran AS menyedari kenyataan China berhubung perkara berkenaan namun kekal menyifatkan kehadiran belon terbabit di ruang udara negara itu jelas melanggar kedaulatan serta undang-undang antarabangsa.

“Perkara ini tidak boleh diterima,” katanya.

Sementara itu, menurut Pentagon, pihaknya kini sedang menjejaki belon pengawasan beraltitud tinggi di atas benua AS.

Pihak berwajib memaklumkan, tentera menimbang untuk menembak jatuh belon itu di Montana Rabu lalu, namun memutuskan untuk tidak berbuat demikian kerana bimbang risiko keselamatan yang tercetus akibat serpihannya 

Belon itu berlegar di ruang udara Montana, lokasi 150 peluru berpandu balistik bersenjatakan kepala peledak nuklear antara benua disimpan di pangkalan tentera utara, menurut akhbar Wall Street Journal.

Insiden sama pernah berlaku sebelum ini, namun kali ini belon itu dilihat kekal berada di ruang udara wilayah AS lebih lama berbanding biasa. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here