ISTANBUL, 9 Feb – Walt Disney akan mengurangkan 7,000 pekerjaan atau 3.2 peratus daripada jumlah tenaga kerjanya susulan langkah penyusunan semula syarikat ketika kedudukan ekonomi yang tidak menentu.

Konglomerat hiburan multinasional yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) itu berkata langkah berkenaan bertujuan untuk menjimatkan kos kira-kira AS$5.5 bilion, lapor Agensi Anadolu.

Tenaga kerja global Disney kini seramai kira-kira 220,000 sehingga 1 Okt tahun lepas.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Robert Iger yang kembali mengambil alih jawatan itu pada November, berkata langkah itu akan membentuk semula syarikat kami dalam persekitaran kreativiti dan pada masa yang sama mengurangkan perbelanjaan syarikat.

“Syarikat menyasarkan pertumbuhan dan keuntungan yang mampan untuk perniagaan penstrimannya bagi meletakkannya pada kedudukan yang lebih baik untuk mengharungi gangguan dan cabaran ekonomi global pada masa akan datang,” katanya pada Rabu.

Disney menjadi firma terbaharu yang mengurangkan pekerja ketika industri teknologi AS bergelut dengan pendapatan yang lebih rendah selain kemelesetan.

Syarikat teknologi utama seperti Zoom, Dell, IBM, Amazon, Microsoft, Salesforce, PayPal dan syarikat induk Google, Alphabet telah menghentikan ribuan pekerja dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini.

Syarikat teknologi kewangan yang berpangkalan di San Francisco, Affirm juga mengumumkan untuk menghentikan 485 daripada 2,552 pekerja atau 19 peratus daripada tenaga kerjanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here