KUALA LUMPUR, 10 Feb – Kesatuan Eropah (EU) memperuntukkan pakej kewangan tambahan bernilai €199.2 juta sebagai sokongan kepada rakyat Palestin, menjadikan jumlah bantuan yang disalurkan setakat ini mencecah € 296 juta, berdasarkan peruntukan bajet 2022 blok itu.

Pejabat Perwakilan Kesatuan Eropah (Tebing Barat dan Semenanjung Gaza, UNRWA) dalam satu kenyataan memaklumkan pakej €199.2 juta ini akan menyokong perbelanjaan Pihak Berkuasa Palestin bagi elaun sosial, perubatan, gaji dan pencen, serta projek di wilayah Palestin yang diduduki , sebagai tambahan kepada projek yang dibiayai oleh EU di Baitulmaqdis Timur.

“Ia merupakan tambahan kepada sokongan kewangan sebanyak €97 juta kepada UNRWA, termasuk tambah nilai €15 juta daripada Kemudahan Makanan dan Daya Tahan yang bertujuan mengurangkan kesan kenaikan harga makanan dan dasar keselamatan makanan akibat pencerobohan Rusia ke atas Ukraine,” menurut kenyataan itu.

EU mengumumkan peruntukan itu ketika majlis menandatangani perjanjian yang dihadiri oleh Presiden Mahmoud Abbas, Perdana Menteri Mohammad Shtayyeh, Menteri Kewangan Shukri Bishara dan Ketua-ketua Misi EU di Palestin.

Keutamaan untuk 2022 telah dikenal pasti dan dipersetujui melalui rundingan dan dialog, seperti yang ditetapkan oleh rangka kerja Strategi Bersama Eropah 2021-2024.

Daripada bajet itu, €114.2 juta akan menyokong Pihak Berkuasa Palestin dalam membayar gaji dan pencen penjawat awam, elaun sosial kepada keluarga yang terdedah dan rujukan ke Hospital Baitulmaqdis Timur.

Di bawah program itu, EU akan terus menyokong bidang pengurusan kewangan awam, air dan tenaga. Jumlah itu juga termasuk 1.2 juta Euro daripada Austria sebagai sumbangan kepada elaun sosial.

“EU kekal komited kepada penyelesaian dua negara.

“Kami juga akan terus bekerjasama dengan kerajaan Palestin ke arah pembaharuan struktur, ekonomi dan fiskal yang akan meningkatkan prestasi dan kecekapan perkhidmatan awamnya,” Wakil EU Sven Kühn von Burgsdorff berkata demikian dalam ucapannya semasa majlis menandatangani perjanjian itu.

EU dijangka alan menyalurkan sokongan kewangan kepada Palestin sehingga €1.177 bilion dari 2021 hingga 2024.

Objektif utama sokongan kewangan EU adalah untuk menubuhkan institusi yang bertanggungjawab bagi masa depan negara Palestin dan menyokong pertumbuhan ekonomi yang kukuh.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here