PUTRAJAYA, 9 Feb – Permohonan kuota bagi penggajian pekerja asing untuk subsektor dobi, barang logam atau barang lusuh dan sarang burung walet telah dibuka sejak 25 Jan lepas, demikian menurut Kementerian Sumber Manusia (KSM).

Dalam satu kenyataan hari ini, KSM memaklumkan permohonan boleh dilakukan menerusi platform Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) di bawah Modul FWe Approval.

Permohonan itu bagi mendapatkan kelulusan penggajian pekerja asing daripada Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (KP JTKSM) selaras dengan penguatkuasaan Seksyen 60K Akta Kerja 1955 (Pindaan 2022), dan membuat permohonan melalui Modul eQuota selepas mendapat kelulusan KP JTKSM.

Subsektor dobi dan barang logam atau barang lusuh adalah di bawah sektor perkhidmatan dengan masing-masing dikawal selia oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup dan Kementerian Dalam Negeri, manakala sarang burung walet di bawah sektor pertanian dan dikawal selia oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Bagi pertanyaan lanjut, hubungi Bahagian Pengurusan Pekerja Migran KSM menerusi talian 03-88852939/2940.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here