KUALA LUMPUR, 17 Feb – Malaysia dan Singapura bersedia meluaskan kerjasama dalam sektor pertanian moden sebagai usaha meningkatkan keterjaminan makanan kedua-dua negara. 

Menurut Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dalam satu kenyataan hari ini, kepentingan membangunkan pertanian moden dan aplikasi teknologi pintar dalam sektor pertanian adalah antara perkara yang dibincangkan semasa kunjungan hormat Pesuruhajaya Tinggi Singapura ke Malaysia Vanu Gopala Menon ke atas Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) di sini, pada Khamis.

Dalam pertemuan itu, Mohamad turut menyatakan bahawa kestabilan bekalan makanan adalah isu global dan perlu ditangani bersama oleh Malaysia dan Singapura.  

Malaysia mempelawa Singapura untuk bersama-sama meningkatkan bekalan makanan melalui pelaburan dalam sektor pertanian moden di Malaysia.

Manakala, Singapura bersedia untuk berkongsi teknologi dan kepakarannya dalam bidang pertanian pintar.

Menurut kenyataan, kedua-dua negara juga bersedia untuk memberikan komitmen bagi memperkukuh  perdagangan dua hala dalam bidang pertanian selaras dengan matlamat bagi menjamin sumber bekalan makanan yang mampan dan berterusan.

Singapura merupakan rakan dagang pertanian yang penting untuk Malaysia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here