PUTRAJAYA, 18 Feb – Tun Dr Mahathir Mohamad dipelawa menyertai Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) serta menjadi penasihat parti itu dan kini negarawan itu sedang memikirkan tawaran berkenaan dengan mendalam.

Menurut Dr Mahathir, Presiden Putra Datuk Ibrahim Ali telah mempelawa beliau untuk menyertai parti itu selepas mesyuarat Ahli Dewan Tertinggi Putra hari ini bersetuju menjadikan beliau sebagai sebahagian daripada ‘keluarga’ Putra.

“Setakat ini, saya tak nampak sebab yang saya tidak boleh terima untuk sertai Putra tetapi saya selalu beri masa kepada saya untuk memikir dengan mendalam sebelum buat keputusan.

“Jemputan untuk saya sertai parti Putra sesuai dengan perjuangan saya. Saya akan meneliti sama ada sesuai atau tidak dengan saya, kalau sesuai saya akan buat permohonan untuk menjadi ahli, kemudian kalau nak bagi saya jadi penasihat, bolehlah saya jadi penasihat,” katanya pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.

Dr Mahathir baru-baru ini keluar daripada parti Pejuang yang diasaskannya dan ia dimaklumkan dalam satu notis kepada Setiausaha Agung Pejuang Datuk Amiruddin Hamzah ekoran tindakan parti berkenaan memutuskan hubungan dengan Gerakan Tanah Air (GTA).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here