BEIJING, 23 Feb — China komited memperkasa kerjasama dengan Rusia, demikian ujar anggota Biro Politik Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (PKC), Wang Yi dalam pertemuannya dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin, pada Rabu.

Beliau yang juga merangkap Ketua Pejabat Jawatankuasa Hal Ehwal Luar PKC berkata, perkongsian strategik komprehensif China-Rusia pada era baharu tidak pernah menyasarkan pihak ketiga, dan tidak akan terganggu atau dipaksa oleh pihak ketiga.

“Ini kerana hubungan China-Rusia mempunyai asas yang kukuh dalam bidang politik, ekonomi dan kebudayaan, selain kedua-duanya bersikap tenang dan tidak berasa gentar selepas merumuskan pengalaman sejarah.

“Yang lebih penting lagi, usaha kedua-dua negara dalam menggalakkan pelbagai polarisasi di dunia dan demokrasi dalam hubungan antarabangsa sejajar dengan trend perkembangan zaman dan aspirasi kebanyakan negara.

”China bersedia bersama dengan Rusia mengukuhkan rasa saling percaya dalam bidang politik, memperkasa solidariti strategi dan kerjasama substantif bagi memelihara kepentingan yang wajar kedua-dua negara selain menyumbang kepada kedamaian serta pembangunan dunia,” kata Wang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here