KUALA LUMPUR, 23 Feb – Seramai 3,386 daripada 29,548 pegawai perubatan lantikan kontrak Kementerian Kesihatan (KKM) meletak jawatan sejak 2017 hingga 2021, kata Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa. 

Beliau berkata ia melibatkan 110 orang pada 2017, 168 (2018), 475 (2019), 511 (2020), 768 (2021) dan 1,354 pada 2022.

“Antara sebab peletakan jawatan lantikan kontrak itu kerana mereka memilih untuk berkhidmat dengan sektor swasta dan badan berkanun lain yang menawarkan gaji lebih menarik.

“Selain itu, ada antara mereka yang membuka klinik sendiri, ada juga yang melanjutkan pelajaran, berhijrah ke luar negara, sebab peribadi dan masalah kesihatan termasuk tekanan mental,” katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi KKM di Dewan Rakyat hari ini.

Menjawab celahan Dr Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani) berkenaan kebocoran terhadap aduan buli yang memberi kesan buruk kepada pengadu termasuk tekanan, Dr Zaliha berkata beliau maklum tentang perkara itu yang telah berlaku sekian lama dan membuat penelitian lebih supaya kejadian seumpama itu tidak berulang.

Beliau turut menasihati pegawai perubatan berpengalaman (senior) untuk membimbing pegawai perubatan baharu (junior) sebagai rakan pembimbing sekali gus memastikan petugas baharu selesa menjalankan tugas mereka.

“Sebab itu KKM komited untuk mendapatkan peruntukan dalam bajet ditingkatkan kepada lima peratus daripada KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) kerana kita lihat kelangsungan pendanaan ini bagi menampung perbelanjaan di fasiliti kesihatan kita,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here