PETALING JAYA, 25 Feb – Tourism Malaysia hari ini melancarkan Jerayawara Jom Cuti-Cuti Malaysia 2023 bagi menggalakkan rakyat merancang percutian dalam negara sekali gus merancakkan aktiviti pelancongan domestik dan membantu meningkatkan ekonomi penggiat industri berkenaan.

Ketua Pengarahnya Datuk Zainuddin Abdul Wahab berkata 30 penggiat industri terdiri daripada agensi pelancongan, hotel, produk pelancongan dan taman tema mengambil bahagian dalam edisi kedua jerayawara itu, dengan penawaran lebih 100 pakej pelancongan pada harga diskaun antara 15 hingga 50 peratus.

“Program ini akan diteruskan ke tujuh lagi lokasi di seluruh negara. Kita berharap program sebegini akan dapat meningkatkan lagi daya saing industri pelancongan domestik,” katanya ketika berucap mewakili Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Khairul Firdaus Akbar Khan pada pelancaran jerayawara berkenaan di The Curve Mutiara Damansara di sini, yang berlangsung hingga esok.

Jerayawara akan diteruskan di AEON Mall Nilai, Negeri Sembilan pada 26 hingga 28 Mei ini; One Utama Shopping Centre (9-11 Jun); AEON Mall Kinta City, Ipoh (14-16 Julai); AEON Mall Shah Alam (25-27 Ogos); Sunway Carnival Mall, Pulau Pinang (29 Sept – 1 Okt); Sunway Pyramid Mall (27-29 Okt) dan AEON Mall Bandaraya Melaka (10-12 Nov).

Zainuddin berkata jerayawara kali ini menyasarkan hasil jualan RM12 juta berbanding edisi tahun lepas yang merekodkan RM9.6 juta dengan sejumlah 29,198 pakej pelancongan terjual.

Untuk maklumat lanjut, layari akaun media sosial Tourism Malaysia di Facebook, Instagram, Twitter, YouTube dan TikTok.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here