TUARAN, 26 Feb — Kerajaan Sabah menetapkan tujuh keutamaan dalam membangunkan bidang kebudayaan di negeri ini yang telah dimulakan sejak 2021 hingga 2030, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata tujuh keutamaan itu ialah pendigitalan seni budaya atau eCulture; pelancongan budaya bersepadu; pemuliharaan budaya; pengukuhan hubungan etnik; penyelidikan dan dokumentasi budaya; pengembangan seni budaya; dan perlindungan harta intelek.

“Tujuh keutamaan itu sejajar dengan inisiatif Sabah Maju Jaya dalam pembangunan budaya pelbagai etnik di negeri ini dan peranan tersebut dipertanggungjawabkan kepada Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS).

“Kita mahu menerusi tujuh keutamaan ini, semua badan kebudayaan dan komuniti membangun bersama, menghayati dan menjiwai nilai kebudayaan yang diwarisi, seterusnya diwariskan kepada generasi akan datang,” katanya merasmikan Duang Festival di Rumah Kebudayaan Rumpun Bajausama di sini hari ini.

Beliau berkata di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), kerajaan meluluskan empat projek berimpak besar berkaitan budaya dengan peruntukan RM4.5 juta iaitu Projek Pemetaan Budaya 2021-2025 dan Pelan Pembangunan Kebudayaan Negeri Sabah 2020-2030.

“Selain itu, projek meningkatkan produk pelancongan Pusat Kebudayaan Murut Sabah di Tenom dan projek meningkatkan infrastruktur Pusat Kebudayaan Sabah Penampang. Kesemua projek ini sedang dalam proses pelaksanaan,” katanya.

Hajiji berkata kerajaan negeri juga memperuntukkan RM9.5 juta kepada LKNS dalam Belanjawan Sabah 2023 untuk melaksanakan pelbagai program pemuliharaan warisan seni budaya etnik negeri ini termasuk mewujudkan Hentian Budaya bagi memperkasakan industri pelancongan berasaskan budaya dengan dua lokasi baharu di Kota Belud dan Tawau.

Sehubungan itu, beliau menyeru pemimpin masyarakat, jabatan dan agensi kerajaan negeri serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan semua lapisan masyarakat di negeri ini terus memperkasa dan memelihara seni, budaya serta adat tradisi bangsa dengan sebaik-baiknya.

“Kita berasa bangga kerana di Sabah, kita mempunyai pelbagai budaya daripada 35 etnik dan 217 subetnik dengan semuanya mempunyai budaya dan bahasa masing-masing,” katanya.

Mengenai festival itu, Hajiji yang juga Presiden Persatuan Rumpun Bajausama Sabah berkata Duang Festival yang julung kali diadakan mampu menjadi wadah untuk mengetengahkan budaya dan tradisi pelbagai etnik di Sabah kepada pengunjung serta generasi muda.

“Festival ini akan dianjurkan setiap tahun pada Februari dan telah dimasukkan dalam kalendar pelancongan. Saya yakin festival ini dapat mengangkat nama daerah Tuaran sebagai destinasi pelancongan yang menarik.

“Selain Pusat kebudayaan Rumpun Bajausama Sabah, di Tuaran ini juga banyak tempat menarik seperti Tembara River Cruise, Taman Buaya, Linangkit Cultural Village, Rumah Terbalik dan Rumah Semut serta pelbagai lagi di daerah Tamparuli dan Kiulu,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here