KUALA LUMPUR, 28 Feb – Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan mengumumkan kenaikan elaun khas kepada pasukan bomba sukarela daripada RM1,500 kepada RM3,000 tahun ini.

Menteri berkenaan Nga Kor Ming berkata peningkatan elaun sebanyak 100 peratus itu adalah sebagai tanda penghargaan kerajaan kepada 357 pasukan bomba sukarela di seluruh negara yang menjalankan kerja secara sukarela tanpa gaji dan elaun.

“Kita akan mempertimbangkan untuk peningkatan (elaun) lagi pada tahun hadapan bergantung kepada keadaan kewangan negara,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Balai Bomba dan Penyelamat Sri Petaling di sini, hari ini.

Nga berkata menerusi Belanjawan 2023 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim Jumaat lepas, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia menerima peruntukan RM206.64 juta bagi memperkasakan perkhidmatan ‘wira merah’ itu.

Beliau berkata daripada jumlah RM46.51 juta disalurkan bagi perolehan peralatan, RM18.2 juta untuk perolehan kelengkapan kebombaan dan 12 ekor anjing pengesan, serta RM129.93 juta bagi pembinaan bangunan baharu serta menaik taraf balai bomba.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here