KUALA LUMPUR, 1 Mac – KPJ Healthcare Bhd memeterai perjanjian penjualan saham dengan PT Nusautama Medicalindo melalui tiga anak syarikat untuk cadangan pelupusan operasi dan penjualan kemudahan hospital Indonesianya yang melibatkan KPJ Medica dengan jumlah pertimbangan berdasarkan nilai perusahaan sebanyak RM150.2 juta.

Anak-anak syarikat itu ialah Kumpulan Perubatan (Johor) Sdn Bhd (KPJSB), Crossborder Aim (M) Sdn Bhd (CAMSB) dan Crossborder Hall (M) Sdn Bhd (CHMSB).

KPJ berkata cadangan pelupusan itu melibatkan 75 peratus kepentingan dalam KPJ Medica oleh KPJSB, dan 100 peratus kepentingan dalam Al-Aqar Bumi Serpong Damai oleh CAMSB dan CHMSB kepada PT Nusautama Medicalindo pada harga belian sementara Rupiah Indonesia bersamaan RM13.66 juta, tertakluk kepada pelarasan berdasarkan tunai penutup, hutang penutup dan modal kerja penutup.

Sementara itu, KPJ berkata cadangan pelupusan itu adalah sebahagian daripada penstrukturan semula operasi hospitalnya di Indonesia yang diperlukan oleh persekitaran perniagaan yang mencabar, keperluan pelesenan dan kawal selia yang dikenakan ke atas pengendali asing seperti KPJ.

“Cadangan pelupusan itu menandakan berakhirnya KPJ daripada mengendalikan hospital pakar di Indonesia bagi membolehkan KPJ menyelaraskan semula strateginya dan memberi tumpuan kepada menguruskan kemudahan penjagaan kesihatan pakar di Malaysia,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here