KUALA LUMPUR, 5 Mac – Myfarm Inc, sebuah syarikat pertanian bersepadu Jepun yang berpangkalan di Kyoto akan melabur RM210 juta dalam projek durian PLS Plantations Bhd (PLS), yang menandakan pelaburan Jepun terbesar dalam industri durian di Malaysia.

Satu usaha sama (JV) merangkap perjanjian pemegang saham telah ditandatangani di antara kedua-dua syarikat itu di sini hari ini untuk melancarkan projek penanaman durian berskala besar seluas 1,000 hektar di Pahang, melalui syarikat JV Akar Barat Sdn Bhd, menurut kenyataan media bersama yang dikeluarkan hari ini.

Anak syarikat PLS, iaitu PLS LESB Sdn Bhd memeterai perjanjian JV merangkap pemegang saham dengan unit Myfarm, Millennium Agriculture Technology Sdn Bhd (MAT).

Difahamkan, MAT akan melabur sehingga 49 peratus kepentingan ekuiti dalam syarikat milik penuh PLS LESB, manakala 51 peratus dimiliki oleh PLS Plantations.

Pengerusi PLS Tan Sri Nazir Razak berkata: “Ini adalah langkah pertama PLS untuk menjadi syarikat agrimakanan terkemuka di Malaysia, yang mana perkongsian strategik seterusnya akan dikenal pasti dan berkembang ke aktiviti perladangan lain seperti ladang hutan, tanaman kontan, dan pertanian & akuakultur lain yang akan menjadi sebagai sebahagian daripada Peningkatan Sekuriti Makanan Negara.”

Sementara itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Myfarm Kazuma Nishitsuji berkata: “PLS sesuai untuk Myfarm kerana penanaman durian, dan penanaman selingan adalah pelaburan mampan yang boleh mempercepatkan lagi pengembangan pertanian kami di Malaysia dan rantau ini.”

Menurut kenyataan tersebut, MAT dan Myfarm dijangka melengkapkan peringkat pertama pelaburan dalam syarikat JV itu pada atau sebelum 30 April tahun ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here