KUALA LUMPUR, 6 Mac – Petroliam Nasional Bhd (Petronas) memeterai memorandum kerjasama dengan Japan Organisation for Metals and Energy Security (Jogmec) untuk bekerjasama dalam inisiatif peralihan tenaga ke arah mencapai sasaran peralihan tenaga dan penyahkarbonan.

Petronas berkata inisiatif itu termasuk kerjasama yang berpotensi dalam hidrogen hijau/biru dan pembangunan ammonia bahan api, penangkapan dan penyimpanan karbon, serta pengurusan pelepasan gas rumah hijau.

Kerjasama itu juga bertujuan untuk meningkatkan lagi hubungan teknikal dan kecekapan dalam teknologi rendah karbon, selain memacu peluang perniagaan dan menyediakan sokongan teknikal dan kewangan kepada syarikat-syarikat Jepun untuk mengambil bahagian dalam projek Petronas, di dalam dan di luar Malaysia.

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas Datuk Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata kumpulan itu komited untuk melabur dalam teknologi dan inovasi bagi mempercepatkan pembangunan penyelesaian rendah karbon kepada pelanggan.

“Melalui kerjasama sinergi dengan rakan kongsi yang berpandangan sama seperti Jogmec, kami berbesar hati untuk terus mengukuhkan usaha dalam memacu inovasi dan skalabiliti dalam tenaga bersih ke arah merealisasikan sasaran Pelepasan Karbon Sifar Bersih 2050 dan meneruskan peralihan tenaga yang bertanggungjawab dan adil untuk Asia” katanya.

Majlis pemeteraian perjanjian tersebut diadakan di luar acara Forum Pelaburan Awam-Swasta Komuniti Pelepasan Sifar Asia (AZEC) di Tokyo hari ini.

Forum itu dianjurkan oleh Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri Jepun.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here