KUALA LUMPUR, 7 Mac – Public Bank dan Public Islamic Bank menawarkan bantuan bagi pembayaran balik pinjaman dan pembiayaan kepada pelanggan yang terjejas akibat banjir di beberapa negeri di Malaysia baru-baru ini.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Public Bank, Tan Sri Tay Ah Lek berkata bantuan pembayaran balik itu akan meringankan beban kewangan pelanggan dan juga membantu mereka memulihkan mata pencarian.

Langkah bantuan itu termasuk penangguhan ansuran bulanan untuk pinjaman dan pembiayaan sehingga enam bulan berdasarkan permohonan, menurut kenyataan pada Selasa.

Bantuan pembayaran balik itu terpakai bagi kemudahan pinjaman dan pembiayaan seperti pembiayaan rumah, sewa beli dan kad kredit untuk pelanggan individu serta pinjaman dan pembiayaan oleh perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi perniagaan tempatan yang terjejas.

Bank-bank ini juga menawarkan pengecualian caj untuk penggantian dokumen berkaitan perbankan seperti kad bank dan buku simpanan yang telah musnah atau hilang dalam banjir.

Di samping itu, tuntutan insurans yang dilindungi oleh polisi insurans yang ditaja jamin oleh Lonpac Insurance Bhd akan dipercepatkan untuk memudahkan pelanggan yang terjejas.

“PKS dan perusahaan mikro yang terjejas akibat banjir di daerah yang dikenal pasti oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara sebagai kawasan bencana banjir juga layak memohon Kemudahan Bantuan Bencana Bank Negara Malaysia (BNM), dengan Public Bank sebagai institusi kewangan yang mengambil bahagian.

“Kemudahan ini adalah untuk tujuan pembaikan dan/atau penggantian aset untuk kegunaan perniagaan seperti loji dan jentera yang telah rosak akibat banjir serta untuk tujuan modal kerja,” jelasnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here