TBILISI, 8 Mac – Seramai 66 penunjuk perasaan ditahan di Georgia, manakala berpuluh-puluh anggota polis cedera selepas pertempuran ganas berlaku di ibu negara Tbilisi.

Rusuhan berlaku susulan rancangan kerajaan untuk memperkenalkan undang-undang ‘ejen asing’ yang kontroversi, kata pihak berkuasa hari ini.

“Anggota penguat kuasa menahan seramai 66 penunjuk perasaan mengikut artikel mengenai hooliganisme kecil dan tidak mematuhi arahan polis,” kata Kementerian Dalam Negeri dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh agensi berita Russia, yang menambah 50 anggota polis cedera dalam protes itu.

Rakaman di media sosial menunjukkan penunjuk perasaan membaling bom petrol dan batu ke arah polis di pusat bandar.

Sebelum ini, Presiden Georgia, Salome Zurabishvili yang kini dalam lawatan rasmi ke Amerika Syarikat menyatakan solidariti terhadap penunjuk perasaan di akaun Facebooknya dengan menyatakan bahawa draf undang-undang itu disediakan ‘atas perintah’ Russia dan ‘undang-undang itu harus dimansuhkan walau apa cara sekalipun’.

“Saya berkata dari hari pertama bahawa saya akan memansuhkan undang-undang ini dan saya akan melakukannya,” tambahnya.

Zurabishvili berhujah bahawa rang undang-undang itu menjejaskan integrasi Georgia dengan Kesatuan Eropah dan NATO.

“Anda mewakili Georgia yang bebas, Georgia yang melihat masa depannya di Barat dan tidak akan membiarkan sesiapa mengambil masa depan ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here