KUALA LUMPUR, 9 Mac – Kementerian Pendidikan (KPM) masih meneruskan usaha menukarkan bahan sistem pendidikan termasuk daripada buku teks fizikal kepada digital, bagi menangani isu beg berat dalam kalangan murid.

Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying bagaimanapun berkata usaha itu agak terhad, dengan mengambil kira pemilikan peranti digital dalam kalangan murid dan ketersediaan capaian internet di sekolah-sekolah di seluruh negara.

“Pada masa kini KPM telah memuat naik 754 buku teks digital dalam pelantar Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa),” katanya ketika menjawab soalan Wan Hassan Mohd Ramli (PN-Dungun) di Dewan Rakyat hari ini, yang mahu tahu langkah kerajaan dalam menangani isu tersebut.

Difahamkan, antara inisiatif yang dilaksana ialah penyediaan lokar sekolah rendah untuk semua murid Tahap 1 di sekolah rendah yang beroperasi secara dua sesi, selain mengehadkan bilangan buku latihan hendaklah tidak melebihi dua buah buku bagi setiap mata pelajaran.

Beliau berkata insiatif lain ialah menerbitkan buku teks secara berterusan, penyusunan semula jadual waktu bagi membolehkan guru merancang pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara optimum, dengan memperuntukkan masa bagi melaksanakan pendekatan modular dan bertema.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here