BANGKOK, 9 Mac – Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand (TAT) mempromosikan kempen ‘Visit Thailand Year 2023: Amazing New Chapters’ di ITB Berlin 2023 dalam usaha untuk menarik 5.8 juta pelancong dari negara Europah.

Gabenor TAT Yuthasak Supasorn berkata penglibatan Thailand dalam pameran pelancongan terbesar di dunia, bertujuan memberi kesedaran mengenai kempen ‘Visit Thailand Year 2023: Amazing New Chapters’, dan hala tuju kerajaan ke arah pelancongan yang lebih mampan dan bertanggungjawab.

“TAT kini sedang membangunkan Matlamat Pelancongan Lestari (STG) selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, yang akan memacu industri pelancongan Thailand bagi mempraktikkan amalan kelestarian.

“Sistem STAR (Sustainable Tourism Acceleration Rating) memperakui perniagaan pelancongan dalam bidang kelestarian pelancongan.

“Perniagaan yang menepati matlamat akan memperoleh jumlah bintang mengikut kesesuaian,” katanya dalam satu kenyataan.

Tahun ini, TAT menyasarkan kedatangan kira-kira 5.8 juta pelancong dari Eropah dan menjana pendapatan sebanyak 406.42 bilion baht.

Ruang pameran Thailand di ITB Berlin 2023 iaitu edisi ke-56 mempromosikan 5F– Food (Makanan), Film (Filem), Fashion (Fesyen), Festival dan Fight (Muay Thai).

Delegasi Thailand diketuai TAT terdiri daripada 70 pemain industri pelancongan dari Thailand kebanyakannya hotel dan resort, termasuk satu pembekal kesihatan – Hospital Bumrungrad.

Majoriti pemain industri (47 peratus) adalah dari Selatan, mencerminkan keutamaan pasaran Eropah untuk percutian pantai, manakala 35 peratus adalah dari Bangkok, 11 peratus dari wilayah Tengah, dan tujuh peratus dari Timur, iaitu destinasi pulau yang baharu untuk pasaran Jerman.

Terdahulu, Puteri Ubolratana iaitu kakanda kepada Raja Thailand Vajiralongkorn, berangkat menghadiri pameran pelancongan itu.

Baginda juga melakukan demonstrasi pembuatan bunga rampai dan kompres herba.

Aktiviti berkenaan selaras dengan hala tuju pelancongan yang mempromosikan segmen kesihatan dan kesejahteraan untuk pelancong Eropah.

Thailand menyasarkan ketibaan antara 25 dan 30 juta pelancong asing pada tahun ini apabila sektor pelancongan menyaksikan pemulihan pantas.

Thailand, merupakan antara destinasi pelancongan paling popular di Asia, telah dikunjungi oleh hampir 40 juta orang pada 2019.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here