KUALA KUBU BHARU, 13 Mac – Pelakon Hafidz Roshdi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas pertuduhan mencederakan isterinya dengan menumbuk pipi kiri wanita itu, awal bulan ini.

Hafidz Roshdi atau nama sebenarnya Muhammad Hafidz Roshdi, 29, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Siti Fatimah Talib yang bertindak sebagai Majistret.

Pelakon drama bersiri ‘Tundukkan Playboy Itu’, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap isterinya Nurul Shuhada Mat Shukri, 29, dengan menumbuk pipi kiri wanita itu sebanyak tiga kali sehingga mangsa mengalami luka, lebam dan bengkak.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu berhampiran susur keluar Tol Sungai Buaya di sini pada 3.22 pagi, 2 Mac lepas.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara dua kali ganda tempoh maksimum bagi sabitan di bawah Seksyen 323.

Muhammad Hafidz yang berkemeja hijau dan berseluar hitam kelihatan tenang sepanjang prosiding itu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Qistini Qamarul Abrar memaklumkan kepada mahkamah, tertuduh ada mendapatkan rawatan psikiatri dan memohon supaya pelakon itu dirujuk ke Hospital Bahagia Tanjung Rambutan, Perak, yang permohonan itu dibuat mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.

“Pihak pendakwaan juga menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh perlu mendapatkan rawatan dan penilaian di Hospital Bahagia dan dilarang mengganggu mangsa serta pasportnya diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai,” kata Nurul Qistini.

Peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Muhammad Hafidz tidak menafikan anak guamnya mempunyai gangguan bipolar namun memberitahu mahkamah, ia bukan serius seperti penyakit mental yang berat seperti skizofrenia.

Beliau turut memohon supaya jaminan dikurangkan kepada RM5,000 kerana anak guamnya mempunyai dua anak selain tawaran berlakon anak guamnya kini ditarik balik berikutan kes itu.

“Pihak kami juga tidak membantah berhubung syarat tambahan yang dipohon oleh pendakwaan, namun adalah tidak munasabah pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah,” kata peguam itu.

Hakim Siti Fatimah membenarkan Muhammad Hafidz diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu bapa pelakon tersebut perlu memastikan anaknya pergi ke Hospital Bahagia untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan psikiatri berkuat kuasa 28 Mac ini. 

“Tertuduh juga dilarang mengganggu mangsa secara terus atau melalui ejen atau sebarang bentuk gangguan lain dan sekiranya tertuduh mempunyai pasport, ia perlu diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai,” kata Siti Fatimah yang turut menetapkan 9 Jun ini untuk sebutan kes bagi dokumen perubatan mangsa dan laporan penilaian psikiatri tertuduh.

Ketika ditemui pemberita di luar mahkamah, Muhammad Hafidz mengucapkan terima kasih kepada ahli keluarga dan peminat yang mendoakannya.

“Saya yakin mahkamah akan membersihkan nama saya daripada pertuduhan ini. Kepada kedua-dua anak saya Humairah dan Umar, abah rindu dan sayang kalian berdua dan tidak pernah sesaat pun abah lupakan kalian,” kata pelakon itu dalam nada sebak sebaik sahaja selesai membayar jaminan.

Ditanya mengenai isu rumah tangganya, Muhammad Hafidz berkata: “Ruang pendamaian masih terbuka sehingga bila-bila. Masih wujud rasa cinta terhadap dia (Nurul Shuhada) dan saya akan cuba yang terbaik untuk selamatkan rumah tangga saya”.

Sebelum ini, media melaporkan Muhammad Hafidz ditahan polis bagi membantu siasatan atas dakwaan menumbuk Nurul Shuhada sehingga wanita itu terpaksa menerima 10 jahitan akibat kecederaan dialaminya.

Pelakon itu juga menceraikan isterinya dengan talak satu menerusi panggilan telefon pada 22 Feb lepas dan wanita itu kemudian memfailkan perceraian di Mahkamah Syariah Shah Alam pada 27 Feb.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here