KUALA LUMPUR, 14 Mac – Filem Mechamato terbitan syarikat tempatan Animonsta Studios (Monsta), yang melakar sejarah tersendiri sebagai animasi pertama dari luar Jepun memenangi Anugerah Peminat Anime, menerima anugerah itu hari ini di Festival Anugerah Anime Tokyo (TAAF) 2023.

Difahamkan, Mechamato layak menerima anugerah itu selepas mendapat sambutan menggalakkan apabila ditayangkan di Cartoon Network dan Netflix Jepun tahun lepas.

Ketua Pegawai Kreatif Monsta Anas Abdul Aziz menerima anugerah itu dengan memakai baju Melayu biru muda mewakili syarikat berkenaan pada majlis yang berlangsung di Tokyo selama empat hari dari 10 hingga 13 Mac.

“Alhamdulillah. Terima kasih kepada setiap peminat yang sudi mengundi kami dari seluruh Rantau Asia Pasifik. Kami akan terus bekerja keras dan membawa AniMY (animasi Malaysia) ke destinasi baharu dan pada masa sama, turut mengeksport budaya kami,” katanya.

Monsta berbesar hati menerima pengiktirafan daripada Jepun, yang sememangnya terkenal dengan industri animasi hebat di mana Mechamato mampu menawan hati penonton negara itu terutama dalam kalangan kanak-kanak dan keluarga.

Mechamato kini berada di tangga teratas dalam kategori filem animasi tempatan serta ditayang di rangkaian pawagam Indonesia dan Singapura kerana ia telah dialih suara sepenuhnya ke dalam Bahasa Inggeris.

Sebelum ini, Anugerah Peminat Anime telah dimenangi oleh beberapa filem ikonik seperti Idolish Seven pada 2021 dan 2022, Uta no Prince-sama pada 2020 dan Yuri!!! On ICE pada 2018 dan 2017.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here