KUALA LUMPUR, 17 Mac – Malaysia di kedudukan ke-10 dalam kalangan 20 negara teratas sasaran mel hasad atau berniat jahat pada 2022, demikian menurut data Kaspersky.

Syarikat keselamatan siber dan privasi digital global itu berkata, Laporan Spam dan Pancing Data Kapersky 2022 menunjukkan Malaysia mencatat 2.98 peratus daripada kesemua lampiran e-mel hasad di peringkat global – meningkat daripada 2.62 peratus pada tahun sebelumnya.

Dari segi perbandingan dalam kalangan negara serantau Malaysia, Vietnam di kedudukan keenam dengan 4.43 peratus daripada hantaran mel hasad yang dikesan manakala Indonesia di tempat ke-15 dengan 1.85 peratus daripada bahagian pada tahun lepas.

Menurut Kapersky, sejumlah 48.63 peratus daripada e-mel di serata dunia adalah spam dengan perisian antivirus menyekat 166 juta lampiran e-mel berniat jahat manakala 507 juta cubaan memancing data dapat digagalkan.

Selain itu, peningkatan sebanyak 18 juta lampiran e-mel berniat jahat telah direkodkan pada 2022 berbanding tahun sebelumnya dengan kejadian paling ketara dilaporkan pada Mac, Mei dan Jun.

“Hantaran mel berniat jahat yang diterima oleh rakyat Malaysia wujud dalam penyamaran sebagai urusan perniagaan (dan) bagi menarik perhatian penerima membuka lampiran. Melalui cara ini, penjenayah siber akan cuba meyakinkan bahawa kandungannya adalah maklumat berkaitan perniagaan seperti tawaran komersial, invois atau salinan pemindahan bank.

“Dalam kebanyakan kes, dokumen yang dibuka itu akan turut memuat turun Trojan (virus),” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kaspersky Asia Pasifik Chris Connell berkata jenayah ‘scam’ atau penipuan yang menjanjikan pampasan dan bayaran daripada agensi-agensi kerajaan, syarikat besar dan bank, akan kekal popular dalam kalangan penjenayah siber pada 2023.

“Data daripada Kaspersky Secure Network (KSN) turut menunjukkan bahawa ancaman laman sesawang di Malaysia sejak lima tahun lepas berada dalam aliran menurun.

“Bagaimanapun, ini tidak bermakna kita perlu berasa selesa ketika penjenayah siber ini sebaliknya menjadi lebih kreatif dalam memperdayakan mangsa. Oleh itu, perlindungan terhadap peranti adalah sesuatu yang perlu dilakukan,” katanya.

Data KSN menunjukkan Malaysia mengalami ancaman web tertinggi pada 2021 iaitu sebanyak 61.3 juta yang turun kepada 37.1 juta pada tahun lepas.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here