KUALA LUMPUR, 17 Mac – Malaysia telah mengambil inisiatif untuk memperkenal Program Hospital Pelancongan Perubatan Perdana pertamanya dengan menyenarai pendek empat pusat perubatan iaitu Institut Jantung Negara, Island Hospital, Pusat Perubatan Mahkota dan Pusat Perubatan Subang Jaya.

Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC) memaklumkan program itu memainkan peranan penting dalam mentransformasi ekosistem penjagaan kesihatan di Malaysia dan rantau ini.

“Melalui program ini, hospital terkemuka negara sedang mempergiat komitmen dan usaha mereka bagi meningkatkan tahap kecemerlangan dalam memberikan perkhidmatan dari hujung ke hujung kepada pesakit sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi selamat dan boleh dipercayai bagi penjagaan kesihatan,” katanya.

Pusat perubatan yang disenarai pendek dipilih dengan teliti menerusi proses yang ketat pada 2022 membabitkan analisis data serta penilaian di lapangan.

Sementara itu, Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa sama memaklumkan Program Hospital Pelancongan Perubatan Perdana akan mempromosi inovasi dan kecemerlangan dalam perkhidmatan perubatan, membawa mereka lebih dekat untuk mencapai sistem penjagaan kesihatan yang lebih berdaya tahan untuk negara dan menjadikan Penjagaan Kesihatan Malaysia sebagai jenama penjagaan kesihatan sejagat yang dikenali dan berwibawa.

Program Hospital Pelancongan Perubatan Perdana adalah kerjasama antara MHTC dan badan akreditasi perubatan sejagat IQVIA dan Suruhanjaya Bersama Antarabangsa (JCI).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here