KUALA LUMPUR, 21 Mac – CGS-CIMB Securities Sdn Bhd berpendapat eksport Malaysia yang kukuh pada Februari mungkin sebahagiannya didorong pemulihan positif dalam data Indeks Pengurus Pembelian (IPP) Pembuatan Caixin, China sekali gus menandakan pembukaan semula ekonominya semakin baik.

Firma pembrokeran itu berpandangan walaupun data jualan terkini oleh Persatuan Industri Semikonduktor (SIA) menunjukkan penurunan 5.2 peratus bulan ke bulan pada Januari 2023, namun China yang mempunyai bahagian pasaran terbesar dalam semikonduktor iaitu pada 31.5 peratus, boleh memberikan limpahan kesan positif kepada permintaan global.

“Satu lagi faktor penyumbang kepada kekukuhan eksport Malaysia pada Februari adalah kesan asas yang rendah memandangkan Tahun Baharu Cina adalah pada Januari 2023 (berbanding Februari pada 2022),” jelasnya dalam nota penyelidikan pada Selasa.

Antara eksport utama, produk elektrik dan elektronik (E&E) bernilai RM44.27 bilion dan menyumbang 39.4 peratus kepada jumlah eksport, yang meningkat 11.7 peratus daripada angka pada Februari 2022.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), eksport produk E&E Malaysia ke China meningkat 27.7 peratus tahun ke tahun pada Februari 2023, dengan China menjadi negara destinasi eksport kedua tertinggi Malaysia.

Melangkah ke hadapan, CGS-CIMB menjangkakan unjuran keseluruhan bagi imbangan perdagangan 2023 Malaysia adalah kekal positif dalam tempoh terdekat.

Secara kumulatif, lebihan dagangan kekal tinggi iaitu pada RM37.7 bilion dalam dua bulan pertama tahun ini, berbanding RM38.4 bilion bagi tempoh yang sama pada 2022.

“Kami yakin ini akan menjadi sokongan positif kepada akaun semasa Malaysia untuk mencapai unjuran kami pada 2.1 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi 2023,” tambahnya.

Sementara itu, Moody’s Analytics menjelaskan pemulihan China akan berlaku secara beransur-ansur dengan perbelanjaan pengguna meningkat perlahan-lahan manakala pelaburan dijangka menerajuinya.

Sektor perumahan mungkin mencatat sedikit peningkatan pada separuh kedua berikutan mudah tunai yang disalurkan terus kepada pemaju supaya projek yang tergendala dapat disiapkan. Pembuatan untuk tujuan eksport memberikan pengaruh yang tidak menentu terhadap prospek di China dan bergantung kepada kestabilan permintaan dari Amerika Utara dan Eropah.

Suku kedua sewajarnya menandakan bermulanya pemulihan ekonomi di rantau Asia-Pasifik (Apac), yang dimulakan dengan pembukaan semula ekonomi China dan Hong Kong.

“Walaupun data yang ada pada masa ini kekal lemah, Indeks PMI rasmi bagi pembuatan dan bukan pembuatan China dan komponennya telah menokok melepasi paras neutral 50, menunjukkan jangkaan peningkatan.

“Data terkini bagi pengeluaran perindustrian China, jualan runcit dan pelaburan aset tetap, keseluruhannya memaparkan pertumbuhan, sekiranya sederhana, adalah untuk sepanjang tahun,” katanya.

Selain itu, Moody Analytics berkata perbelanjaan pelaburan adalah paling kukuh meskipun masih didominasi pertumbuhan 10.5 peratus tahun ke tahun dalam kalangan perusahaan milik negara – menunjukkan kesan daripada rangsangan fiskal kerajaan untuk memulakan ekonomi pada tahun ini.

Pelaburan sektor swasta bagi tahun ke tahun merosot untuk tempoh Januari/Februari kepada 0.8 peratus daripada 0.9 peratus.

Akhir sekali, jualan runcit di China meningkat dalam tempoh Januari/Februari, terutamanya bagi perkhidmatan termasuk penyediaan makanan, hiburan dan pengangkutan.

“Ini seumpama pola yang dapat dilihat pada 2022 apabila ekonomi di seluruh dunia dibuka semula berikutan Covid-19. Perbelanjaan untuk barangan masih perlahan; jualan kereta merosot, antaranya berikutan subsidi terhadap kenderaan elektrik yang ditamatkan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here